Home Ekonomi MARIC harap bajet buka peluang industri rel tempatan

MARIC harap bajet buka peluang industri rel tempatan

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Industri rel tempatan mengharapkan Bajet 2018 membuka lebih peluang kepada kepakaran dan keberhasilan tempatan.

Setiausaha Kehormat Syarikat Rel Industri Malaysia (MARIC), Haniff Ghazali berkata, misalnya, Projek Keretapi Pantai Timur (ECRL) diharap dapat membuka lembaran baharu kepada usahawan dan industri tempatan.

“Industri rel tempatan telah lama bertapak dan beransur kukuh dan matang sesuai dengan peredaran masa dan pemodenan kejuruteraan rel.

“Industri tempatan telah melewati zaman keretapi diesel, era landasan berkembar dan elektrifikasi, zaman perkembangan rel metro seperti LRT, monorel dan MRT dan kini bersedia mendepani cabaran keretapi berkelajuan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Haniff, pemindahan teknologi dan minda sedia ada sudah memantapkan keberhasilan dan kompetensi setiap lapisan tenaga kerja di dalam rel sama ada di kelompok operator dan juga kontraktor meliputi bidang kejuruteraan, pembinaan, dan sebagainya.
“MARIC yakin dengan pengalaman terdahulu seperti projek pembinaan landasan berkembar Ipoh-Padang Besar, pembinaan LRT Jalinan Kelana Jaya dan Jalinan Ampang, projek keretapi KLIA dan transit, industri rel tempatan boleh terlibat lebih aktif di dalam dua projek mega bernilai lebih RM100 bilion iaitu ECRL dan HSR,” ujarnya lagi.

Selain mahir dengan persekitaran tempatan, industri rel Malaysia adalah kompeten dan fleksibel terhadap pemodenan dan transformasi serta kredibel, katanya.
MARIC, katanya, menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada nilai projek bakal dilaksanakan oleh kepakaran tempatan dengan sokongan agensi-agensi berwibawa dan bertanggungjawab seperti MiGHT dan TDA.- MalaysiaGazette