KUALA LUMPUR – Pemimpin terdahulu khususnya negarawan diingatkan tidak ‘cuci tangan’ dan bersikap menyalahkan pemimpin negara pada hari ini kerana kegagalan sesuatu dasar dan keputusan yang dibuat oleh orang lama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sikapnya itu hanya menyerlahkan sifat sebenar pemimpin lama yang beranggapan segala keputusan dan tindakan lalu terbaik kepada negara ini.
“Kita tidak mahu generasi muda kini menjadi generasi muka (masa depan) yang semakin biadap dan kurang ajar serta tidak menghargai ilmu.
“Kita juga tidak mahu generasi pertengahan, generasi tua atau orang lama yang sering menuding jari, sering menyalahkan yang baru.
“Seolah-olah eranya terbaik, era selepas itu tidak baik, itu sindrom kejumudan pemikiran dalam tempurung pemikiran yang tidak pernah dipecahkan kerana syok sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.
Hadir sama Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia yang juga selaku Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr Rais Yatim.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) dan beliau mahu nama pusat pendidikan itu dikekalkan dan hanya membuat penambahbaikan dengan pengajian dunia Melayu.
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed yang sebelum ini menyalahkan pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kononnya berlaku persetujuan berat sebelah hasil penggubalan Akta Pembangunan Petroleum pada 1974.
Ia susulan pelancaran manifesto Pakatan Harapan di Sarawak baru-baru ini yang menjanjikan kenaikan royalti minyak dan gas Sarawak dan Sabah daripada lima peratus kepada 20 peratus jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya.
Ahmad Zahid juga menggesa mana-mana pemimpin terdahulu yang tersasar supaya kembali kepada ajaran al-Quran dan ajaran Islam sebenar dalam usaha mengembalikan kegemilangan Melayu Islam di negara suatu masa dahulu.
“Bertepatan dengan situasi semasa pada waktu ini, dunia Melayu mudah-mudahan tidak dilihat semakin tersasar daripada landasan Islam yang sebenarnya.
“Kita kena kembali kepada landasan, menghubung kait dengan dengan erat, sebagaimana ulamak-ulamak Melayu di rantau ini yang telah mensyumulkan Islam, mengikut tuntutan Islam yang dijadikan sebagai satu kemestian di dalam hidup sempurna.
“Marilah kita rapatkan saf dalam kalangan kita, para sarjana, ketepikan perbezaan kita,” katanya. – MalaysiaGazette