KUALA LUMPUR – Sekolah-sekolah tahfiz tidak memiliki kurikulum pembelajaran khusus yang digunapakai dan pengendali menggunakan sukatan hafazan masing-masing.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdin Dusuki berkata, aspek kurikulum sekolah tahfiz berada di bawah kawalan pihak berkuasa agama negeri tersebut, selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan di mana hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.
“Pada masa ini tiada suatu kurikulum khusus yang digunapakai oleh sekolah tahfiz persendirian.
“Kebanyakan sekolah tahfiz menggunakan sukatan hafazan masing-masing dengan penambahan pengajian agama dengan menggunakan pelbagai kitab,” kata beliau semasa menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, kaedah pengajian tahfiz juga adalah menggunakan aliran pengajian tahfiz guru masing-masing.
Bagaimanapun, Asraf berkata, kerajaan ketika ini dalam proses merangka kurikulum pendidikan untuk diselaraskan di sekolah-sekolah tahfiz supaya ia mengikut peredaran zaman.
“Kerajaan menyedari kurikulum pendidikan perlu diselaraskan untuk menjamin kualiti lepasan pelajar sekolah tahfiz adalah terjamin.
“Oleh itu, kerajaan melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sedang merangka model dan kurikulum sekolah tahfiz supaya sesuai dengan keperluan masa kini,” katanya.
Selain itu, Asraf memberitahu, semua guru yang mengajar pendidikan agama Islam termasuk sekolah tahfiz perlu mendapatkan tauliah mengajar daripada pihak berkuasa agama negeri berkenaan. – MalaysiaGazette