Home Nasional UIAM bakal jadi pusat rujukan dunia Melayu

UIAM bakal jadi pusat rujukan dunia Melayu

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu di Kampus IIUM Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 OKTONBER 2017
KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bakal mempunyai pusat pengajian dunia Melayu menerusi Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah penjenamaan semula ISTAC dengan memperkenalkan pengajian Ketamadunan Islam dan Dunia Melayu.
“Penyebaran Islam di negara ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca. Ia membolehkan bahasa Melayu mengekalkan jadi diri dengan penggunaan tulisan Jawi.
“Tulisan Jawi menjadikan Melayu bukan Arab, saya melihat persepektif ini sebagai ruang agenda yang boleh dijalankan oleh sarjana di ISTAC. ISTAC bakal menjadi institusi rujukan utama dalam pelajaran dan pengajian (tamadun Islam dan Melayu) di peringkat antarabangsa.
“Insya-Allah ia akan menjadi pusat pengajian dunia Melayu yang ulung, selaras dengan aspirasi negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan penjenamaan semula ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Penasihat Sosio-Budaya Bagi Kerajaan Malaysia merangkap Presiden IIUM, Tan Sri Rais Yatim meletakkan keris sebagai gimik Majlis Perasmian Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu di Kampus IIUM Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 OKTONBER 2017
ISTAC beroperasi sepenuhnya pada April 2016 dan berpusat di UIAM Kampus Kuala Lumpurdi Taman Duta, di sini. Ia merupakan cetusan idea daripada Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia yang juga Presiden UIAM, Tan Sri Rais Yatim.
Pengisian ISTAC sebelum ini lebih kepada pengajian tamadun Islam di negara Timur seperti Arab Saudi, Libya, Afrika Utara, Turki dan Jordan.
Bagi menyokong penyelidikan dunia Melayu Islam, ISTAC mempunyai Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menempatkan kira-kira 150,000 bahan ilmiah.
Perpustakaan itu juga menyimpan beberapa artifak berupa kelengkapan perang seperti baju perisai, pedang, pisau, senapang dan lain-lain dari dunia Islam pada abad ke-18.
Menurut Ahmad Zahid, penubuhan ISTAC ini diharapkan membetulkan persepsi negatif terhadap agama Islam yang sememangnya bukan penghalang kepada pembangunan dan kemajuan negara.
“Kita mahu menerusi alam Melayu nusantara akan memberi keberhasilan dan karya lain yang berpotensi memperkayakan lagi khazanah Islam di rantau ini dengan lebih baik lagi.
“Kita mestilah sentiasa respons terhadap keperluan semasa, sentiasa persiapkan diri dengan ilmu dan tidak hanya berada di kepompong pemikiran terdahulu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.