KUALA LUMPUR – Pengumuman langkah pengurangan kadar cukai pendapatan individu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan sebanyak 261,000 pembayar cukai sebelum ini tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan.
Lebih menarik lagi, apabila langkah pengurangan kadar cukai itu juga dapat dinikmati oleh 2.3 juta pembayar cukai terutamanya golongan pendapatan pertengahan (M40) dengan isi rumah pendapatan RM9,000 ke bawah.
Ketika mengumumkan langkah baru itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM20,000 hingga RM70,000 iaitu:
Pertama: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada RM20,001 sehingga RM35,000, kadarnya diturunkan daripada 5 peratus kepada 3 peratus.
Kedua: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada RM35,001 sehingga RM50,000 pula, kadarnya diturunkan daripada 10 peratus kepada 8 peratus; dan
Ketiga: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada RM50,001 sehingga RM70,0000 kadarnya diturunkan daripada 16 peratus kepada 14 peratus.
“Langkah ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat antara RM300 sehingga RM1,000.
“Ini bermakna dianggarkan sejumlah RM1.5 bilion lebihan pendapatan boleh guna dapat dibelanjakan oleh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette