Home #Bajet2018 Bajet 2018 komited bantu rakyat miliki rumah

Bajet 2018 komited bantu rakyat miliki rumah

PR1MA

KUALA LUMPUR – Bagi memudahkan pemilikan rumah kepada rakyat, kerajaan dalam Bajet 2018 memperuntukkan dana sebanyak RM2.2 bilion.

Ini melibatkan peruntukan antaranya untuk membina 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat, 210,000 unit rumah PR1MA yang berharga RM250,000 ke bawah serta memanjangkan skim Step-Up Financing kepada pemaju perumahan swasta.

Berikut adalah butiran pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung langkah kerajaan membantu rakyat di dalam memiliki rumah seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018:-

Pertama: 17,300 unit rumah Projek Perumahan Rakyat;

Kedua: 3,000 unit rumah program Rumah Mesra Rakyat di bawah SPNB;

Ketiga: 210,000 unit rumah di bawah program PR1MA yang berharga RM250,000 ke bawah.

Untuk ini, RM1.5 bilion diperuntukkan bagi tempoh dua tahun;

Keempat: 25,000 unit rumah akan disiapkan pada tahun hadapan di bawah PPA1M, dan 128,000 unit lagi di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan;

Kelima: 600 unit rumah di bawah program My Beautiful New Homes atau MyBNHomes untuk isi rumah B40 antaranya di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan kawasan orang asli;

Keenam: 2,000 unit rumah di bawah program MyDeposit untuk membantu pembayaran deposit, dan program MyHomes untuk pemaju menyediakan lebih banyak rumah mampu milik; dan

Ketujuh: RM200 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah, termasuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia.

Bagi menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik, skim step-up financing yang diperkenalkan oleh PR1MA, dipanjangkan kepada pemaju perumahan swasta, berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan.

Berkaitan rumah terbengkalai pula, dicadangkan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindahmilik, diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai, berkuatkuasa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.-MalaysiaGazette