KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berpendapat Bajet Alternatif Pakatan Harapan (PH) sebagai idea yang baik tetapi sukar untuk dilaksanakan.
Bagaimanapun, MTEM menyambut baik pembentangan bajet itu kerana secara kebetulan, lima agenda utama melibatkan dasar percukaian progresif, gaji dan pekerjaan, pendidikan percuma, isu pesawah padi, pengilang dan pemborong serta pelaburan asing mendapat pengiktirafan daripada kepimpinan PH.
“Keseluruhannya Bajet PH memberi harapan kepada rakyat, tetapi idea mereka itu perlu diteliti dari segi pelaksanaan demi kesejahteraan segenap rakyat Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman.
Beliau berkata, dalam 10 intipati utamanya iaitu cadangan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menghapuskan tol dan memulangkan semula subsidi petrol dilihat sebagai tidak realistik dari segi kewangan negara walaupun menarik di hati rakyat.
“Secara khususnya pentadbiran negara memerlukan kos yang tinggi dan dengan hanya mengharapkan penjimatan RM20 bilion melalui penghapusan rasuah, secara jelas dilihat sukar untuk dilaksanakan kerana untuk menghapuskan rasuah itu sendiri memerlukan kos pentadbiran yang agak mencabar, malah hasil penjimatan pula tidak dapat dikenal pasti secara jelas,” katanya.
Katanya, hasil penelitian huraian Bajet PH, MTEM menyokongan cadangan mengenakan cukai lebih tinggi kepada golongan 10 peratus terkaya (T10) serta cukai tambahan 10 peratus bagi cukai warisan kerana selari dengan cadangan majlis itu sebelum ini untuk mengatasi isu ketaksamaan.
“Penghapusan pelaksanaan GST dan memperkenalkan cukai mewah bagi golongan kaya turut disuarakan Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) dalam cadangan bajet mereka.
“Mengenai gaji dan pekerjaan yang lebih baik, kita sebelum ini juga pernah menyuarakan saranan pelaksanaan gaji minimum RM1,500. Cadangan sistem pembayaran bersama dilihat menarik untuk tempoh tiga tahun ini dan bakal membantu majikan agar tidak terbeban dengan kadar gaji minimum ini.
“Kita setuju saranan PH untuk memperketatkan dasar kemasukan dan pengurusan pekerja asing. Bagaimanapun, pelaksanaan ini boleh dimanfaatkan oleh pelarian warga Rohingya yang sememangnya memerlukan sokongan dan bantuan semua pihak berwajib,” katanya.
Mengenai pendidikan percuma yang dicadangkan dalam Bajet PH, Ahmad Yazid berkata, pihaknya bersetuju dengan penekanan bagi sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kerana adanya peruntukan khas seperti yang disyorkan oleh MTEM sebelum ini bakal memberi keberkesanan kepada sistem TVET, selain membantu belia yang sedang melangkah ke alam pekerjaan.
Beliau turut teruja dengan PH yang mengiktiraf masalah pesawah melalui cadangan untuk mengembalikan semula fungsi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) selari dengan tuntutan MTEM.
“Kami menyambut baik keinginan PH dalam melaksanakan stok simpanan nasional kerana ia mengambarkan keprihatinan dalam jaminan pemakanan negara,” katanya.
Berhubung pelaburan asing pula, ujarnya, MTEM tidak ada masalah untuk menyokong idea perkongsian pengetahuan dan pegangan ekuiti bersama bagi kepentingan negara yang strategik.
Ini kerana, kata beliau, MTEM percaya ia mempunyai manfaat kepada negara dan kawasan di mana projek itu bakal dijalankan.
Justeru, MTEM percaya kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai data untuk mewajarkan kos projek dan usahasama dengan China, tetapi pihaknya berharap kerajaan mengambil idea daripada Bajet PH sebagai penambahbaik yang berfaedah.
“Kita harap agar Bajet 2018 bakal menyelesaikan permasalahan yang disuarakan rakyat kerana dilaporkan sebanyak 13,837 idea dan cadangan telah diterima kerajaan sepanjang kempen sumber khalayak bajet dijalankan. – MalaysiaGazette