Home #Bajet2018 Hampir RM24b peruntukan keselamatan

Hampir RM24b peruntukan keselamatan

Perarakan perbarisan anggota tentera yang turut serta pada Sambutan Hari Kebangsaan ke 60 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 31 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Lebih RM14 bilion diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia dan hampir RM9 bilion kepada Polis DiRaja Malaysia dan lebih RM900 juta diberikan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018.

Menurut Najib, ini bagi mempertingkatkan keselamatan sempadan dan ketenteraman awam melalui enam program utama.

Ini meliputi peruntukan sebanyak RM3 bilion untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan, RM720 juta bagi pembinaan 11 ibu pejabat dan enam balai polis, serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi.

Manakala RM170 juta untuk menaik taraf peralatan internet dan telekomunikasi termasuk sistem 1PDRMnet, serta RM100 juta bagi menaik taraf sistem komunikasi.

“Bagi mengekang ancaman ideologi ekstremisme seperti IS dan DAESH, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM atau PPA1M-PDRM akan dibina, yang harganya sesuai dengan tangga gaji anggota polis.

Sejumlah RM490 juta kepada APMM untuk baik pulih dan selenggara kapal serta bot, menaiktaraf jeti, juga pembelian tiga kapal peronda.

Bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak, termasuk RM50 juta untuk coastal surveillance radar di bawah peruntukan sebanyak RM250 juta kepada ESSCOM.

Dalam pada itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi meningkatkan keupayaan aset pesenjataan pasukan gerak khas menangani kegiatan anti-keganasan.

Menurut Najib, kerajaan tidak pernah melupakan peranan RELA membantu masyarakat selama ini, dengan itu pada Bajet 2018, mereka menerima peruntukan tertinggi iaitu hampir RM250 juta bagi kelengkapan keperluan termasuk pakaian seragam.

Dalam menjaga kebajikan para tentera, kerajaan akan menyediakan blueprint Perumahan Keluarga Angkatan Tentera untuk membina lebih 40,000 unit secara berfasa, menjelang tahun 2030.

Bagi 2018, sebanyak hampir 6,000 unit akan dibina.

“RM40 juta ringgit untuk menaik taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran angkatan tentera.

“Untuk itu, marilah kita bersama-sama memberikan setinggi-tinggi penghargaan dan tepukan kepada semua anggota keselamatan negara, merangkumi pasukan polis, anggota tentera, dan APMM, yang telah berkorban jiwa dan raga, demi menjaga keamanan serta kedaulatan pertiwi tercinta ini,” katanya. – MalaysiaGazette