Home #Bajet2018 Industri insurans, takaful berdaya tahan

Industri insurans, takaful berdaya tahan

KUALA LUMPUR – Industri insurans kekal berdaya tahan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dengan permodalan kukuh dan keuntungan lebih baik disokong oleh sektor insurans hayat.

Nisbah Kecukupan Modal (CAR) kekal teguh pada kadar 238.5 peratus melebihi keperluan minimum 130 peratus berbanding Januari-Julai 2016 pada 234.9 peratus.

Jumlah penampan modal juga meningkat kepada RM33 bilion berbanding RM29.8 bilion pada Januari-Julai 2016.

Jumlah aset industri insurans terus meningkat kepada RM253.5 bilion pada akhir 2017 dan jumlah aset sektor insurans hayat bertambah sebanyak 6.6 peratus kepada RM220.7 bilion, kekal tertumpu kepada sekuriti hutang korporat yang merupakan 67.2 peratus daripada keseluruhan aset insurans.

Laporan Ekonomi 2017/2018 berkata, aset bagi sektor insurans am meningkat 4.5 peratus kepada RM32.7 bilion.

Tunai dan deposit terus menjadi kelas aset terbesar yang dipegang oleh syarikat insurans am iaitu 22.1 peratus daripada jumlah aset sektor insurans am.

Sementara, sektor takaful berkembang baik dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dengan peningkatan aset 6.8 peratus kepada RM28.1 bilion berbanding RM26.1 bilion pada tahun 2016.

Sekuriti hutang Islam kekal sebagai komponen aset terbesar yang menyumbang sebanyak 54.6 peratus, diikuti tunai dan deposit sebanyak 15.8 peratus.

Kedudukan modal industri takaful kekal stabil dengan CAR mencatatkan 211.4 peratus pada suku kedua 2017. – MalaysiaGazette