KUALA LUMPUR – Ekonomi global dijangka terus berkembang pada 2018 di sebalik ketidaktentuan polisi di negara-negara maju, peningkatan dasar perlindungan dan ketegangan geopolitik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejajar dengan perkembangan ekonomi global yang mengukuh pada 2017 didorong oleh pemulihan serentak dalam kalangan negara maju serta negara yang berkembang pesat dan membangun, Malaysia juga menerima impak yang sama.
“Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 5.7 peratus dalam
tempoh separuh pertama 2017 berbanding empat peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
“Perkembangan ekonomi ini didorong oleh permintaan domestik yang teguh serta peningkatan prestasi sektor luar,” katanya dalam prakata Menteri Kewangan Malaysia, Laporan Ekonomi
2017/2018.
Tambah Najib, penggunaan swasta berkembang lebih rancak pada kadar 6.9 peratus manakala pelaburan swasta meningkat kukuh sebanyak 10 peratus.
Malaysia juga akan terus menjadi destinasi pelaburan pilihan terutamanya dari benua Asia dan Eropah.
Dalam pada itu, kerajaan juga telah berjaya mengurangkan defisit fiskal berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 3.1 peratus pada 2016 dan 3.0 peratus pada 2017 berbanding 6.7 peratus pada 2009.
Inisiatif pembaharuan fiskal ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti bagi melaksanakan langkah counter-cyclical untuk
menyokong ekonomi, kata Najib.
Kerajaan katanya akan terus menggalakkan bidang pertumbuhan baharu bagi memperkasa asas ekonomi demi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Ini termasuk mengamalkan Revolusi Industri 4.0 yang mana antara fokus pentingnya adalah penerapan ekonomi digital.-MalaysiaGazette