KUALA LUMPUR – Eksport negara akan terus dipergiat terutama kepada sektor eksport yang bernilai tinggi dengan peruntukan sejumlah RM150 juta kepada MATRADE, MIDA dan SME Corp bagi melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport termasuk Market Development Grant.
Sejumlah RM1 bilion disediakan oleh EXIM Bank bagi kemudahan kredit perlindungan insurans dan RM200 juta untuk kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport PKS dan RM100 juta disediakan sebagai pinjaman dengan 70 peratus jaminan kerajaan bagi mengautomasi pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport.
Perdana Menteri berkata, peruntukan paling besar juga disediakan kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah sebanyak RM6.5 bilion.
Sejumlah RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan serta hampir RM500 juta bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang.
Hampir RM200 juta bagi program penanaman semula getah dan menyediakan kemudahan infrastruktur dengan meningkatkan pengeluaran latex 20 berbanding cup lump, sekali gus meningkatkan pendapatan para pekebun kecil dan hampir RM40 juta bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi.
Katanya, dalam memperkasakan sektor pertanian, RM200 juta disediakan bagi inisiatif Sumber Kekayaan Baharu, khususnya untuk penanaman jagung bijian, kelapa, durian, dan sektor kulinari serta industri tenusu dengan menubuhkan Lembaga Tenusu dan Ruminan.
“Buat pertama kalinya, skim khas, untuk program peningkatan pengeluaran kelapa melalui pendekatan penanaman semula kelapa variasi baru dari jenis CARECA dan MATAG akan diperkenalkan dengan peruntukan RM50 juta ringgit, memanfaatkan 10,000 pekebun kecil.
“Pengurusan industri kelapa akan digabungkan di bawah satu lembaga bersama-sama industri nenas dan buah-buahan dan penoreh getah dan nelayan yang dikekalkan bantuan-bantuannya.
“Buat pertama bantuan sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi, dengan peruntukan hampir RM150 juta ringgit kepada pesawah padi. – MalaysiaGazette