TAPAH – Sembilan orang maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori membawa ais awal pagi ini.
Kejadian berlaku di Jalan Air Kuning-Mambang Diawan dekat Kampung Haji Dahlan di sini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Suprintendan Som Sak Din Keliau mengesahkan kemalangan pada pukul 6.50 pagi itu membabitkan sebuah lori ais dan sebuah van.
Dalam nahas ngeri itu, van terbabit dipercayai membawa lapan wanita pekerja ladang yang dipandu lelaki berusia 32 tahun mati di tempat kejadian.
Sementara, pemandu lori berusia 22 tahun yang membawa ais difahamkan cedera parah.
Semasa kejadian, van berkenaan dalam perjalanan ke sebuah ladang sayur.
“Siastan awal mendapati lori ais itu dalam perjalanan dari Kampar menuju ke Air Kuning telah berlanggar secara berdepan dengan sebuah van yang membawa pekerja ladang dari arah bertentangan.
“Ekoran pelanggaran itu, kesemua penumpang dalam van maut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian itu
Ujar beliau, kesemua mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Daerah Tapah untuk proses bedah siasat.
“Dalam pada itu pemandu lori ais berkenaan menerima rawatan di Hospital Daerah Kampar.
“Polis sedang menyiasat kejadian berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette