KUALA LUMPUR – AirAsia Japan hari ini memulakan penerbangan dua kali sehari yang menghubungkan Nagoya dan Sapporo.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata dengan rangkaiannya yang luas di seluruh Asia Pasifik, syarikat penerbangan itu merancang untuk berkembang secepat mungkin untuk menghubungkan Nagoya dengan seluruh Jepun, Asia Utara dan ASEAN serta menjadikan Nagoya sebagai destinasi masuk utama untuk menyaingi Tokyo dan Osaka.
“Penerbangan sulung Airasia Japan ini adalah tentang darah, keringat dan air mata yang kami tumpahkan untuk menjadikan perjalanan tambang murah di Jepun menjadi kenyataan, dan saya mengucapkan terima kasih kepada Chubu Centrair kerana sentiasa bersama kami sepanjang usaha ini. Banyak lapangan terbang boleh mempelajari daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, CEO AirAsia Japan, Osamu Hata menyatakan keyakinan bahawa penumpang Jepun akan teruja untuk mengalami apa yang telah menjadikan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia selama sembilan tahun.
“Ia merupakan hari yang menarik bagi AirAsia Japan kerana kami menyambut penumpang pertama kami dari Nagoya ke Sapporo. Faktor muatan dari segi kapasiti penumpang yang kukuh pada penerbangan sulung hari ini menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi untuk tambang murah kami yang unik dan produk perkhidmatan tinggi,” kata Hata.
Sebanyak 166 penumpang yang mewakili 92 peratus faktor muatan, menggunakan perkhidmatan sulung itu.
Penerbangan DJ 0001 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di Nagoya pada pukul 7.35 pagi waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa New Chitose di Sapporo pada 9.25 pagi waktu tempatan.
AirAsia Japan adalah usaha sama antara AirAsia Berhad, Rakuten Inc, Octave Japan Infrastructure Fund I GK, Noevir Holdings Co Ltd and Alpen Co Ltd.
Syarikat penerbangan itu mengggunakan dua pesawat A320-200 dari hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di Nagoya.
— BERNAMA