Home Seni Hidup Kerana busana perkahwinan, isteri AR Badul terkejut

Kerana busana perkahwinan, isteri AR Badul terkejut

Gambar AR Badul dan Isna yang menjadi tular di laman sosial sejak minggu lepas.

KUALA LUMPUR – Gara-gara mengenakan busana perkahwinan, pelakon baharu Siti Zaidatul Isna Mohd Rauf, mengakui terkejut apabila gambarnya dengan pelawak veteran AR Badul tiba-tiba menjadi tular di media sosial.

Siti Zaidatul atau lebih mesra dengan panggilan Isna, 26, berkata, dia mengetahui perkara itu menerusi rakan-rakan dan ahli keluarga yang bertanyakan hal berkenaan.

“Saya terkejut dan gelak sahajalah apabila keluar foto dan berita tentang AR Badul berkahwin lagi dan wanita dalam gambar itu adalah saya.

“Ramai kawan dan saudara yang tidak tahu saya sudah mula berlakon bertanyakan hal ini. Mujur ibu dan bapa saya tahu saya sedang menjalani penggambaran dengan pelawak terbabit,” katanya memetik laporan sebuah laman portal hari ini.

Isna berkata demikian mengulas mengenai beberapa foto perkahwinan dengan AR Badul yang dimuat naik oleh pelakon Ezany Nazariff pada minggu lalu.

Dalam laporan sebuah akhbar, foto berkenaan menjadi tular selepas tersebar di aplikasi WhatsApps Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) baru-baru ini.

Ia hanyalah adegan dalam sebuah drama.

Selain itu, Isna berkata, foto yang diambil ketika penggambaran drama Tuyul Ke London itu menjadi tanda tanya selepas pelawak berkenaan menghantar ke WhatsApps dengan niat bergurau.

Bagaimanapun, ia menjadi tular selepas dimuat naik rakan-rakan artis dengan ucapan tahniah. – MalaysiaGazette