KUALA LUMPUR – Dana-dana asing menjual sebanyak RM92.1 juta ekuiti Malaysia minggu lalu, rekod tertinggi dalam bulan Oktober.
Dengan dua hari berbaki untuk bulan ini, Oktober adalah bulan ketiga yang menyaksikan penjualan dalam kalangan para pelabur asing.
MIDF Research berkata, jumlah ekuiti yang dijual juga adalah tertinggi daripada RM71.4 juta yang direkod pada minggu sebelum, sekali gus menjadikan ia jualan minggu ketiga bagi jualan asing.
Menurut firma itu dalam laporan mingguannya, para pelabur asing mengurangkan pegangan dalam ekuiti tempatan sepanjang minggu kecuali pada hari Jumaat.
“Kemuncak jualan pada hari Selasa sebanyak AS$120 juta dan tertinggi dalam tempoh 17 hari, seiring dengan kejatuhan FBM KLCI kepada 1,736 mata, paras terendah sejak April lalu selepas mengambil petunjuk saham teknologi dan perindustrian yang menyeret Wall Street sehari sebelumnya,” kata firma tersebut.
Rekod jualan 11 hari di bursa itu bertangguh pada hari Jumaat kerana pembentangan Bajet 2018, bersama pembayaran dividen besar Tenaga Nasional Berhad memberikan dorongan untuk pembelian asing bernilai RM90.8 juta bersih .
Selain Malaysia, bursa Asia Tenggara yang lain termauk Thailand dan Indonesia juga menyaksikan penjualan pelabur asing.
MIDF Research menambah, aliran keluar bersih pelabur asing dalam saham-saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada masa ini berjumlah RM300.6 juta.
Katanya, penyertaan pelaur asing berkurangan selepas melonjak pada minggu sebelumnya berikutan nilai dagangan harian purata harian (ADTV) turun 26 peratus dan berakhir di bawah RM1 bilion iaitu RM943.3 juta. – MalaysiaGazette