Anak RPK bidas Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Anak perempuan Raja Petra Kamarudin, Raja Sara tetap dengan pendiriannya mempertikaikan kredibiliti Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sampai sekarang tidak mahu membuat laporan kepada pihak berkuasa dalam isu sogokan RM5 juta.

Sebelum itu, Raja Sara yang juga penganalisis politik itu telah memuatnaik rakaman video di Facebook terhadap Syed Saddiq berhubung isu yang sama.

Kenyataannya itu dibuat bukan kerana ada masalah dengan Syed Saddiq tetapi hanya pandangan peribadinya sahaja.

Sebelum itu, Raja Sara mengadakan sidang media mengenai pertandingan melukis dan mewarna bertemakan 2050 Malaysiaku di Ibupejabat PGRM di sini.

Menurut Raja Sara, apa yang cuba dibangkitkan dalam rakaman itu adalah menggesa Syed Saddiq supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika berlaku unsur sogokan sepertimana yang didakwa.

Pada 4 Oktober lepas, Syed Saddiq dalam sidang medianya mendakwa diancam oleh individu yang mengugut keluarganya agar beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Armada dan politik .

Syed Saddiq turut membuat laporan polis terhadap ancaman yang dibuat terhadap diri dan ahli keluarganya oleh pihak yang menawarkan RM5 juta kepadanya untuk meninggalkan PPBM.

Terdahulu, dalam sidang medianya Sara yang merupakan koordinator program dialog berkenaan berkata, pertandingan melukis anjuran Persatuan Penggerak Perpaduan Malaysia (PPPM) itu diadakan sempena Dialog Transformasi Nasional 2050.

Ia menyasarkan penyertaan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

Pertandingan tersebut akan diadakan pada Sabtu ini di Dewan Selangor, Tingkat 4, Menara PGRM, Jalan Pudu Hulu, Cheras pukul 9 pagi.

Pihak penganjur katanya, mensasarkan sebanyak 200 penyertaan dan setakat ini sudah ada 100 penyertaan yang diterima secara online.

Pemenang-pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil penyertaan. – MalaysiaGazette