Home Seni Hidup Flying High – Memoir Tony Fernandes

Flying High – Memoir Tony Fernandes

KUALA LUMPUR – “Tidak ada jalan pendek untuk mencapai kejayaan, walaupun kita takut kepada kegagalan,” kata Tan Sri Tony Fernandes.

Pengasas bersama syarikat penerbangan AirAsia Berhad (AirAsia) itu mengakui beliau juga pernah melalui banyak kegagalan dalam kehidupannya namun tidak pernah menyesal.

Sebaliknya, kegagalan itu mengajar beliau untuk percaya segala-galanya boleh menjadi realiti jika fokus dan berjaya kerana angan-angan boleh menjadi kenyataan.

Fernandes berkata, Flying High menceritakan tentang kekuatan impian.

“Apabila saya dan Datuk Kamarudin Meranun memulakan AirAsia, kami mendapat pelbagai tentangan.

“Mereka berkata impian kami tidak akan tercapai dan bayangkan jika kami mengalah, sudah tentunya buku ini tidak akan terhasil.

“Anda perlu terus berangan-angan. Jika anda tidak berangan-angan, anda tidak hidup”. Ia adalah antara petikan oleh Fernandes dalam memoir bertajuk Flying High: My Story From AirAsia to QPR.

Memoir itu turut memaparkan kisah perjalanan kehidupan Fernandes – daripada seorang remaja yang membesar di Malaysia dan seorang pelajar yang bercita-cita tinggi di luar negara hingga beliau bekerja di syarikat Warner Music.

Begitu juga detik-detik pertemuan dengan pengasas Kumpulan Virgin, Sir Richard Branson membawa beliau kepada AirAsia pada hari ini.

Fernandes berkata, walaupun semua itu merupakan satu kenangan tetapi banyak lagi perkara yang mahu digapainya.

Flying High dijual pada harga RM86.95 (termasuk GST) kini boleh didapati di semua kedai buku utama di Malaysia serta boleh di pra-tempah dan didapati di bigdutyfree.com dan juga dalam pesawat AirAsia bermula 6 November ini.

Sebelum pelancaran petang semalam, Fernandes mengambil masa lebih dua jam menandatangani buku hasil nukilannya di Kinokuniya, KLCC.

Kehadiran Fernandes di kedai buku itu menarik perhatian orang ramai yang tidak melepaskan peluang merakam gambar. – MalaysiaGazette