KUALA LUMPUR – Keputusan membeli pesawat Boeing yang dibuat oleh pihak pengurusan Malaysia Airlines Berhad serta lembaga pengarahnya tidak mempunyai sebarang campur tangan politik.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menegaskan perkara itu juga telah dijelaskan sendiri oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maĺaysia Airlines, Peter Bellew baru-baru ini.
“Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Malaysia Airlines dan Boeing dengan pembelian pesawat-pesawat baharu dan penyelenggaraan pesawat merupakan pelaburan jangka panjang malah sejajar dengan pelan transformasi MAB.
“Malaysia Airlunes akan dapat memperkukuhkan kedudukan syarikat penerbangan nasional secara tidak langsung mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkaitan industri penerbangan, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pada di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Terdahulu, King Sing meminta Perdana Menteri menyatakan hasil lawatan kerja ke Amerika Syarikat pada September lalu dan apakah kejayaan yang telah dicapai melalui lawatan tersebut.
Sementara itu, beliau berkata, pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Amerika Syarikat bukan perkara baharu malah pada ketika ini agensi itu sudah mempunyai pelaburan sebanyak AS$6 bilion dengan negara berkenaan.
“KWSP bercadang untuk menambah pelaburan di antara AS$3 bilion hingga AS$4 bilion dan jumlah ini hanyalah 17 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan KWSP di luar negara,” jelasnya.
Najib berkata lagi, pelaburan KWSP di luar negara telah bermula sejak 2008 dan setakat Jun 2017, agensi ini melaburkan sehingga 29 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburannya.
“Ia telah menyumbang sebanyak 32.5 peratus kepada keseluruhan pendapatan KWSP pada suku kedua 2017.
“Ini jelas menunjukkan pelaburan itu kurang dari 30 peratus dan keputusan pelaburan itu telah memberi keuntungan yang signifikan kepaada KWSP, malah pencarum pula menikmati keuntungan dalam bentuk dividen lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette