SINGAPURA – Singapura mengharamkan dua pendakwah Islam asing untuk memasuki negara itu kerana tidak bertoleransi dan memberi risiko kepada keharmonian sosialnya.
Dua pendakwah berkenaan ialah Ismail Menk dari Zimbabwe dan Haslin Baharim, warga Malaysia.
Di Malaysia, Haslin lebih dikenali sebagai Ustaz Bollywood kerana gemar menyanyi lagu Hindustan dalam ceramahnya manakala Ismail Menk lebih dikenali sebagai Mufti Menk.
Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam kenyataannya berkata, Menk didakwa tidak membenarkan umat Islam memberi ucapan pada perayaan agama lain.
Manakala Baharim pula didakwa mempunyai pandangan yang menggalakkan perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam yang disifatkan sebagai ‘menyimpang’.
Penduduk Singapura majoritinya kaum Cina yang menganut Buddhisme dan Taoisme dan 14 peratus lagi penduduk Islam serta Kristian hampir 19 peratus.
Kementerian itu berkata, Singapura mementingkan kestabilan yang mana ketegangan agama tidak biasa berlaku dan sensitif terhadap kenyataan awam mungkin menjejaskan keharmonian agama dan sosial.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Singapura meningkatkan tahap pengawasan terhadap radikalisme Islam kerana kebimbangan penyebaran militan di rantau ini.
Menk dan Haslin merancang untuk mengadakan sesi keagamaan di atas kapal yang dijangka berlepas dari Singapura pada bulan depan tetapi permohonan mereka untuk pas kerja jangka pendek di Singapura ditolak, kata kementerian itu.
“Mereka tidak akan dibenarkan berada di sini termasuk berada di atas kapal pelayaran yang beroperasi ke atau dari Singapura,” kata kementerian itu.
Bulan lalu, pihak berkuasa Singapura juga menolak permohonan untuk dua pendakwah Kristian asing untuk bercakap di Singapura kerana mereka telah membuat “penghinaan dan komentar terhadap agama lain. – MalaysiaGazette
Comments are closed.