Home Utama Jack Ma terkejut Malaysia ambil masa 3 bulan lancar DFTZ

Jack Ma terkejut Malaysia ambil masa 3 bulan lancar DFTZ

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap ketika Dialog TN50 pada program Daya e-Usahawan 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 31 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama di luar China bakal dilancarkan di Malaysia pada 3 November ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, rakyat boleh berbangga apabila Malaysia menjadi satu-satunya negara yang berupaya mendapat kelulusan daripada jutawan Internet China, Jack Ma untuk mewujudkan DFTZ sesingkat tiga bulan sahaja.

“Jack Ma amat terkejut, dia tak fikir mana ada kerajaan boleh buat dalam masa tiga bulan, tapi kita telah buktikan kepada mereka, kerajaan Malaysia boleh melakukan dalam tempoh tiga bulan.

“Sebab itu Jack Ma kata, dia akan bekerja dengan Ali Baba bahawa DFTZ di luar China akan berada di Malaysia dan kita punya tarikh pelancaran pada 3 November ini, Insya-Allah, hari Jumaat,” katanya pada program Daya eUsahawan dan dialog TN50 di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berswafoto dengan sebahagian peserta program Daya e-Usahawan 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 31 OKTOBER 2017
Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Tan Sri Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mahmood.

DFTZ merupakan inisiatif terbaharu kerajaan dalam memacu perkembangan sektor e-dagang negara, seiring usaha pengukuhan kepada ekonomi domestik.

Idea mewujudkan DFTZ tercetus selepas Perdana Menteri tertarik dengan usaha yang dilakukan Jack Ma selaku Pengerusi Eksekutif Alibaba Group di China, tahun lepas.

Najib juga berkata, menjelang hari pelancaran DFTZ Malaysia Jumaat ini, hampir 2,000 syarikat Industri Kecil dan Sederhana yang memenuhi syarat layak memasuki pasaran global, khususnya di China.

“Pasaran China ini sangat besar. Kawan saya eksport dua kontena durian setiap bulan ke China, sampai dia kata tak cukup bekalan, itu baru industri hiliran sahaja.

“Tapi dia tahu buat banyak duit dengan perniagaan hiliran seperti itu. Bayangkanlah kalau kita ada minyak wangi, sarang burung, makanan kesihatan, apa pun.

“Sebab itu, jangan mengadu jika Musang King dah mahal kerana pasaran China, di Hong Kong sebiji RM800, semua pasaran sana sangat besar. Inilah cabaran bagi wira digital kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.