Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pada masa ini, para pelajar sudah dibebani dengan kurikulum sedia ada dan penambahbaikan perlu dilakukan agar tidak ketinggalan daripada peredaran semasa.
“Kalau kita lihat bahawa ia sesuatu yang cukup menggalakkan, maka ianya mungkin boleh disisipkan dalam kurikulum, cuma saya beri sedikit peringatan bahawa kurikulum kita sudah berat sekarang ini.
“Kalau kita beban banyak sangat kita kena kurangkan aspek yang lain, kalau tidak pelajar kita akan terlalu banyak bebanan. Kita mesti selalu kaji semula dan melihat kurikulum kita dan perlu penambahbaikan.
“Kita sebagai sebuah kerajaan, kita memang melakukan perkara ini,” katanya berucap semasa Dialog TN50 di program Daya eUsahawan di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Katanya, pengenalan sains komputer dan pengaturcaraan dalam sistem pendidikan di peringkat sekolah menengah membuktikan ia relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
“Salah satu daripada bajet inisiatif yang telah saya umumkan di mana setiap sekolah menengah akan dibekalkan bilik kelas abad ke-21 di mana kita ada satu bilik darjah yang menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan teknologi terkini.
“Antaranya papan pintar dan sistem penyampaian yang sangat interaktif. Saya sudah melihat sendiri contohnya di sebuah sekolah di Putrajaya, saya cukup tertarik hati kepada konsep ini.
“Sebab itu saya memberi peruntukan sebanyak RM192 juta untuk tujuan tersebut. Dari aspek perniagaan, dan keusahawanan, mungkin kita boleh mula di peringkat sekolah sebagai aktiviti ko-kurikulum sebagai permulaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.