KUALA LUMPUR – Hubungan ekonomi yang kukuh dengan negara seperti Amerika Syarikat (AS) penting bagi Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan prestasi perdagangan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, Malaysia sedang mengkaji kemungkinan mengaktifkan semula Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) dengan AS sebagai perjanjian perdagangan alternatif, selain Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedang dirundingkan.
“AS ialah ekonomi global terbesar dan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas ucaptama pada Persidangan PKS FMM 2017 di sini hari ini.
Malaysia dan AS memulakan rundingan TIFA pada Mei 2004. Objektifnya, antara lain, adalah untuk meningkatkan semangat kerjasama dua hala dan membangunkan perdagangan dan pelaburan sedia ada antara kedua-dua negara untuk manfaat ekonomi.
Namun, rundingan tidak aktif selepas AS, di bawah Presiden Barrack Obama, memulakan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang menarik 11 negara lain termasuk Malaysia.
Sementara itu, Mustapa berkata rundingan TPPA sedang berlangsung dalam kalangan 11 negara anggota pada mesyuarat dua hari di Tokyo, Jepun, yang bermula semalam.
“Kumpulan ini telah mengadakan pertemuan sejak hampir setahun, terutama sejak enam bulan kebelakangan ini iaitu sejak Amerika Syarikat mengumumkan pengundurannya darpadai perjanjian itu. Pertemuan (di Tokyo) bertujuan merangka perjanjian menyeluruh untuk menggekalkan TPPA.
“Hasil cadangan (pertemuan itu) akan dikemukakan kepada kami, Menteri-menteri Perdagangan, dan dibawa ke peringkat Menteri di Danang, Vietnam dari 10-11 November. Hasil mesyuarat itu akan dikemukakan kepada para pemimpin di setiap negara,” katanya.- MalaysiaGazette