Home Sukan Najib garis 5 ramuan atlet berjaya dalam sukan

Najib garis 5 ramuan atlet berjaya dalam sukan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) melihat 'Wall of Fame' yang memaparkan gambar-gambar atlet negara sepanjang Sukan SEA ke 29 dan Sukan Para ASEAN ke 9 ketika hadir pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sambil diiringi Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin (dua kanan) di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggariskan lima ramuan sebagai panduan untuk seseorang atlet berjaya dalam bidang sukan.

Kelima-lima ramuan itu ialah atlet perlu mempunyai teknik dalam bersukan, mempunyai kekuatan fizikal, perlu mengamalkan nutrisi sihat dalam pemakanan, mempunyai kekuatan mental yang tinggi serta sentiasa menjaga tahap kesihatan sepanjang masa.

“Semua itu mesti disatukan dan setiap kita perlu mengamalkannya,” katanya ketika berucap pada Majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) Sukan SEA dan Para ASEAN di Bukit Jalil malam ini.

Hadir sama pada majlis itu isteri beliau, Datin Paduka Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan persatuan-persatuan sukan agar tidak menumpukan kepada perkara-perkara melibatkan politik sebaliknya perlu memberikan perhatian kepada atlet-atlet yang mengharumkan nama negara.

Katanya, beliau kagum dengan semangat dan kejayaan lebih 231 atlet bawah umur 21 tahun yang telah menyumbang pingat emas dalam acara-acara sukan terbesar.

Beliau yakin atlet-atlet muda itu jika dididik dan diberi latihan akan membawa kejayaan lebih besar lagi kepada negara pada masa akan datang.

“Kita mesti tentukan bahawa kita akan bawa kejayaan yang lebih cemerlang. Sebab itu dalam Bajet 2018, saya umumkan peruntukan terbesar kepada Kementerian Belia dan Sukan iaitu sebanyak RM1 bilion.

“Kita harap momentum semua atlet akan dapat dipertingkatkan lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette