Home Nasional Papan iklan bukan nak komersialkan PPIM – Nadzim

Papan iklan bukan nak komersialkan PPIM – Nadzim

KUALA LUMPUR – Siapa sahaja pengguna lebuhraya MRR2 menuju Hulu Klang pasti tertumpu kepada papan iklan besar milik Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan gambar ketuanya, Datuk Nadzim Johan.

Biasanya pawagam dan syarikat besar sahaja berani menggunakan papan iklan gergasi seperti itu untuk mempromosi produk dan perkhidmatan mereka bukannya pertubuhan bukan kerajaan seperti PPIM.

Jadi timbul persoalan, PPIM sanggup mengeluarkan belanja besar mempromosi perkhidmatan mereka berbanding sebelum itu ia hanya dilakukan secara mulut ke mulut sahaja.

Bagaimanapun, Nadzim yang lebih dikenali sebagai Tokki itu menafikan tujuan pihaknya mempromosi PPIM menggunakan papan iklan gergasi itu bukan bertujuan untuk mengkomersialkan PPIM.

Sebaliknya, papan iklan tersebut dipasang sempena ulang tahun ke-20 persatuan itu dan memaklumkan kepada orang ramai PPIM sudah lama ada membantu menyelesaikan kemelut melibatkan orang Islam di Malaysia.

Menurutnya, ia juga sebagai satu hebahan kepada orang ramai yang pernah menjadi mangsa dan terhimpit dengan ceti haram agar menghubungi PPIM bagi mendapatkan khidmat nasihat untuk menyelesaikan belenggu yang dihadapi.

“Tidak ada apa-apa. Kita hanya naikkan bill board itu untuk nak mewujudkan kesedaran jika ada yang terlibat dengan ah long.

“Kita baru pasang papan iklan itu bulan lepas dan ia mungkin akan terpampang dalam tiga atau empat bulan sahaja,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Nadzim berkata demikian bagi mengulas mengenai ‘kehadiran’ papan iklan yang menunjukkan imejnya berserta logo PPIM dan nombor telefon bimbit.

Dalam pada itu, Nadzim turut menafikan pemasangan papan iklan itu juga tidak ada kena mengena dengan elemen politik sambil menegaskan PPIM merupakan NGO yang bebas daripada sebarang unsur berkenaan. – MalaysiaGazette