KUALA LUMPUR – Presiden Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos menjemput pemimpin pembangkang yang sedang menghadiri sesi sidang Parlimen untuk makan tengahari percuma di restorannya dan mahu mengenepikan fahaman politik masing-masing.
Jamal berkata, restoran yang dibukanya tidak memilih sesiapa untuk datang makan, malahan sejak dibuka tiga minggu lalu rata-rata pengunjung terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama.
“Kami tak memilih siapa yang datang, tak kira parti politik, bangsa atau agama sesiapa pun boleh datang.
“Saya juga menjemput pemimpin pembangkang yang sedang menghadiri sidang Parlimen untuk datang makan tengahari di sini,” katanya semasa sidang media di restorannya yang terletak di Jalan Pahang hari ini.
Dalam pada itu, Jamal berkata restoran yang dibukanya itu mendapat sambutan yang mengalakkan dan mencecah sehingga tiga ribu orang sehari.
“Alhamdulillah, sasaran seribu sehari kita sudah tercapai dan sekarang sudah capai tiga ribu orang sehari.
“Oleh sedemikian, atas sambutan yang mengalakkan dan sokongan yang kuat daripada rakan NGO dan syarikat korporat kami meletak sasaran baharu untuk menerima pengunjung sekurang-kurangnya lima ribu orang sehari,” katanya lagi.
Sementara itu, Jamal juga memberitahu mereka menerima sumbangan bahan untuk memasak seperti beras, minyak, sayur dan pelbagai lagi daripada individu yang tidak dikenali sebagai tanda sokongan kepada pembukaan restorannya.
“Sumbangan mencurah-curah, beras, minyak masak, sayur dan kicap.
“Saya tidak tahu siapa yang hantar, malah dalam simpanan kami sahaja sudah bertan-tan beras,” katanya.
Jamal merasmikan restoran yang memberikan makanan percuma pertama dalam negara pada 16 Oktober lalu yang terletak di Jalan Pahang bersebelahan McDonalds itu, dibuka mulai 11 pagi sehingga 3 petang.
Restoran itu mempunyai 15 pekerja sukarela di restoran itu yang mengamalkan konsep “makan sampai kenyang tanpa pembaziran dan cuci pinggan sendiri”. – MalaysiaGazette
Comments are closed.