Home Sukan Johor umum Ahad cuti khas peristiwa jika JDT menang Piala Malaysia

Johor umum Ahad cuti khas peristiwa jika JDT menang Piala Malaysia

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor tidak menolak kemungkinan mengumumkan Ahad ini sebagai cuti khas peristiwa sekiranya pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) menjuarai Piala Malaysia 2017.

Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani berkata, langkah itu dibuat sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta menghargai kegigihan pasukan harimau selatan dalam usaha merangkul piala berprestij tersebut.

“Jika JDT berjaya meraih kemenangan, pengisytiharan itu adalah sebagai rakaman ucapan terima kasih kepada para pemain serta para penyokong yang telah berjaya membawa pulang kejuaraan tersebut buat pertama kalinya sejak 25 tahun.

“Ia juga sebagai menghargai sokongan padu rakyat Johor kepada pasukan JDT, sehingga membolehkan pasukan itu mencipta kejayaan demi kejayaan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, titah Sultan Johor agar makluman awal diberikan kepada rakyat itu turut menzahirkan keprihatinan Tuanku bagi memudahkan mereka membuat persediaan awal dalam mengurus pekerjaan serta kegiatan harian lain memandangkan Ahad merupakan hari bekerja di Johor.

Dalam pada itu, Azmi turut menyeru semua peminat sukan bola sepak Johor untuk turun beramai-ramai memenuhi Stadium Shah Alam pada Sabtu ini bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan JDT.

“Marilah kita tunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi serta semangat kesukanan yang tinggi demi memastikan lakaran sejarah kejayaan pasukan kita dapat direalisasikan pada pertemuan akhir itu,” katanya.

Azmi turut menasihatkan para penyokong agar saling menghormati sesama peminat bola sepak yang lain. – MalaysiaGazette.