Home Nasional Najib hargai sambutan penuh mesra penduduk Kuala Kedah

Najib hargai sambutan penuh mesra penduduk Kuala Kedah

KUALA KEDAH – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghargai sambutan penuh mesra daripada seluruh lapisan masyarakat semasa kunjungannya ke Kampung Seberang Kota di sini pagi ini.

“Terima kasih kerana menerima kehadiran saya dengan penuh kemesraan dan diharap agar hubungan ini akan terus terjalin.

“Saya berazam agar Kuala Kedah akan terus maju di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional,” katanya semasa melawat Pasar Nelayan Seberang Kota di sini hari ini.

Perdana menteri dilihat berselera menjamah pelbagai juadah kampung yang sukar didapati di Kuala Lumpur atau Putrajaya dan berbual mesra dengan pengunjung warung di pasar berkenaan.

Sementara itu Rasyida Mohd Nor, 38, yang merupakan pemilik warung Paklong di pasar nelayan itu berkata lawatan pemimpin negara itu menjadi sejarah paling berharga dalam hidupnya kerana berpeluang menyediakan pelbagai menu untuk dijamah perdana menteri.

“Bila dapat tahu perdana menteri yang datang ke warung, saya rasa sangat bangga dan tak tahu macam mana nak gambarkan kegembiraan itu.

“Tiga hari saya buat persiapan untuk pastikan semuanya sempurna untuk dihidang kepada beliau, ada pulut sambai, pulut ikan masin, peknga dan teh O,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu peniaga di pasar nelayan, Ku Norhafizah Ku Ismail, 36, berkata, dia berasa sangat teruja kerana berpeluang bertemu pemimpin nombor satu negara itu secara dekat.

“Saya sangat terharu dan gembira serta berharap setelah perdana menteri lihat sendiri kehidupan di sana, beliau dapat menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Seorang petani, Ahmad Saad, 67, dari Kampung Telok Talipon pula berkata beliau menyokong penuh kepimpinan perdana menteri dan mengucapkan jutaan terima kasih atas pengumuman peruntukan kepada golongan nelayan, petani serta peladang pada pembentangan Bajet 2018.

Kamarudin Saad, 57, yang merupakan nelayan, pula berkata bantuan RM300 yang diterima daripada kerajaan juga sangat dihargai, namun tetap berharap ia dapat ditambah mmemandangkan kos sara hidup yang makin meningkat.

Kerajaan buat pertama kali dalam sejarah negara memberi peruntukan paling besar kepada pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah, berjumlah RM6.5 bilion, menerusi pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini.

— BERNAMA