Home Politik Pusat tahfiz, SAR cuba dihapuskan?

Pusat tahfiz, SAR cuba dihapuskan?

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mendakwa pusat tahfiz swasta dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) cuba dihapuskan secara sistematik di negara ini susulan tekanan kerenah birokrasi yang menyulitkan pendaftaran pusat pendidikan itu dengan kementerian dan agensi kerajaan.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, lebih malang apabila sekolah aliran agama dan al-Quran ini tidak mendapat tempat khas dalam Bajet 2018 berbanding sekolah-sekolah lain.

“Peruntukan pendawaian maahad tahfiz hanya disalurkan kepada Giat MARA. Bantuan perkapita kepada SAR masih belum dikembalikan sejak ianya dirampas pada zaman Tun Dr. Mahathir (Mohamad) menjadi perdana menteri.

“Saya dimaklumkan oleh pengusaha tahfiz dan SAR di Pahang sukar mendapatkan kelulusan bomba. Kerenah birokrasi jadi hambatan.

“Saya lihat perkembangan ini sebagai usaha untuk menghapuskan tahfiz swasta dan SAR secara sistematik. Ini sangat menyedihkan malah sungguh mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Nasrudin, lebih malang apabila pusat tahfiz dan SAR bukan sahaja tiada peruntukan langsung seperti sekolah jenis kebangsaan dan mubaligh bahkan masih tidak diperakui sebagai anak dalam sistem pendidikan negara.

“Pahang sahaja mempunyai lebih 100 buah Maahad Tahfiz dan SAR. Saya percaya di negeri-negeri lain juga banyak. Kenapa hak mereka dinafikan? Di mana hak pendemokrasian ilmu yang dilaungkan?” soalnya.

Nasrudin juga mengingatkan kerajaan agar tidak memandang rendah terhadap kewujudkan pusat tahfiz dan SAR, walaupun tidak berdaftar, namun ia telah melahirkan ramai cerdik pandai agama termasuk mufti.

“Jika bimbang SAR melahirkan militan, bukankah negara telah ada undang-undang mengekang militan? Jika bimbang SAR membawa ajaran sesat, bukankah negara telah ada undang-undang menangani ajaran sesat?

“Bukankah SAR adalah institusi rakyat? Kepada siapa lagi kalau tidak kerajaan berbakti kepada rakyat? Bukankah kerajaan selayaknya membantu rakyat?

“Kalau jutaan ringgit boleh dihabiskan untuk bantuan individu melalui BRIM, kenapa tidak dikembalikan bantuan perkapita SAR? Saya tidak jangka kerajaan mahu bermusuh dengan rakyatnya sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette