Home Nasional ‘Cikgu Natarajan’ kini buat kerja pejabat

‘Cikgu Natarajan’ kini buat kerja pejabat

P. Kamalanathan

KUALA LUMPUR  – Kementerian Pendidikan mengesahkan sudah mengambil tindakan terhadap bekas Ketua Cawangan MIC, yang dikenali sebagai ‘Cikgu Natarajan’ berikutan tindakannya yang mengejutkan rakyat Malaysia beberapa hari lalu.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, lelaki tersebut telah dipindahkan ke jabatan pendidikan terdekat dan hanya mengendalikan kerja-kerja pejabat sementara siasatan salah lalu seks terhadapnya masih dalam siasatan.

Tambahnya, laporan polis terhadap lelaki itu juga sudah dibuat oleh bebrapa pihak.

“Saya mendapat klip audio dan kami sedang meneliti kes itu, tindakan selanjutnya akan diambil jika tuduhan itu benar,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Kamalanathan, perbuatan lelaki tersebut tidak mewakili 4,000 ketua cawangan MIC di seluruh negara.

“Kami mempunyai 4,000 pengerusi MIC, mereka adalah orang yang bereputasi, yang tidak mewakili yang lain,” katanya.

Beberapa hari lepas, masyarakat dikejutkan dengan rakaman perbualan antara Natarajan dengan seorang wanita dipercayai ibu kepada seorang gadis bawah umur yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Natarajan dalam perbualan itu didakwa mendesak wanita tersebut mendapatkan persetujuan daripada anak perempuanya supaya meniduri lelaki itu, dan sebagai balasan dia akan lulus dalam peperiksaan dan mendapat peluang pekerjaan serta-merta.

Natarajan juga didakwa cuba menyogok wanita itu dengan minuman keras dan wang supaya dapat memujuk anaknya untuk melakukan hubungan seks dengannya.

Terdahulu, Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR) mendesak Kementerian Pendidikan supaya memecat seorang guru yang juga ahli MIC yang didakwa menyalahgunakan kuasa dan mahu melakukan seks dengan pelajar sekolah menengah.

Presidennya, Datuk A. Chandrakumanan berpendapat, lelaki itu tidak layak menjadi guru berikutan perbuatan terkutuknya yang didakwa mahu seorang seorang suri rumah supaya menyerahkan anak perempuannya yang akan menduduki SPM supaya tidur bersamanya. -MalaysiaGazette