Home Ekonomi Ringgit dijangka cecah RM4 berbanding dolar

Ringgit dijangka cecah RM4 berbanding dolar

ringgit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka meningkat perlahan-lahan melepasi paras psikologi 4.0 berbanding dolar AS kerana unit tempatan itu telah stabil dan membentuk asas kukuh pada paras semasa, demikian menurut ForexTime (FXTM) Ltd.

Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata, pasaran telah mula mengunjurkan mata wang Malaysia itu meningkat kembali ke paras yang ia biasa diniagakan pada 2015.

“Saya percaya situasi buruk bagi ringgit telah berakhir. Prospeknya lebih optimistik pada masa hadapan.

“Faktor-faktor luar, seperti pemulihan harga minyak dan kelemahan berterusan dolar AS…akan menyediakan faktor positif bagi ekonomi tempatan dan mata wang negara sedang pesat membangun seperti ringgit.

“Secara andaiannya, senario terbaik bagi ringgit kemungkinan sekitar jajaran 3.80-3.90 (berbanding dolar AS), dan pasaran menjangka ia mungkin berlaku dalam suku kedua atau suku ketiga tahun depan,” katanya kepada Bernama.

Kebimbangan terhadap lebihan bekalan minyak mentah, yang menyebabkan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) melepasi di bawah paras utama US$50 setong pada pertengahan 2015, mencetuskan momentum jualan dalam mata wang ekonomi-ekonomi sedang pesat membangun yang berkaitan dengan eksport minyak mentah, termasuk ringgit.

Ia berlaku pada masa yang sama ketika minat terhadap dolar AS meningkat, dengan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) turut meningkat.

Unit tempatan diniagakan pada paras 3.77 berbanding dolar AS pada akhir Jun 2015, 2.80 berbanding dolar Singapura, 3.08 berbanding yen Jepun, 5.93 berbanding pound British dan 4.21 berbanding euro.

Ketika ini ringgit berada pada paras purata 4.24 berbanding dolar AS, kata Jameel, yang percaya mata wang tempatan itu di bawah nilai dan masih terlebih jual.

“Dengan ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi lebih baik daripada dijangkakan, dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tinggi sekitar 5.0 peratus, ia mewajarkan ringgit diniagakan pada paras yang lebih baik,” katanya sambil menambah ringgit dijangka mengukuh perlahan-lahan tanpa banyak dagangan tidak menentu pada jajaran 4.30-4.15 ke arah penghujung tahun.

Jameel yang juga Ketua Analisis Pasaran FXTM juga berkata lantunan semula harga minyak mentah daripada paras terendahnya, perkembangan di Amerika Syarikat dan kemasukan semula portfolio pelabur asing ke pasaran kewangan dan pasaran modal Malaysia merupakan antara faktor yang membantu menstabilkan nilai ringgit.

Meskipun penormalan Fed dan jangkaan kenaikan kadar faedahnya telah diambil kira oleh pasaran, beliau berkata dolar AS hilang rangsangan berikutan tidak ada sebarang kemajuan daripada pelaksanaan dasar Presiden AS Donald Trump.

Beliau berkata pasaran ketika ini bimbang dengan dua faktor – dasar cukai AS dan siapa yang akan dilantik sebagai Pengerusi Fed seterusnya.

Pasaran nampaknya mengambil kira seseorang yang lebih cenderung kepada kadar faedah tinggi akan menggantikan Janet Yellen, kata Jameel.

Mengenai harga minyak mentah, beliau berkata, terdapat kemungkinan cubaan lantunan semula ke paras US$60-US$65 setong tahun depan dan ia akan memberi prospek positif kepada mata wang ekonomi negara sedang pesat membangun yang berkaitan dengan eksport minyak mentah, termasuk Ringgit.

“Apabila ringgit pulih dan mengukuh berbanding dolar AS, ia juga akan mengukuh berbanding mata wang lain. Anda akan lihat ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Singapura, rupiah Indonesia dan berbanding mata wang asas lain di Asia,” katanya.

Meskipun faktor-faktor luaran mungkin lebih mempengaruhi sentimen pelabur berkaitan dengan ringgit, Jameel memberi amaran peningkatan ketegangan geopolitik akan mengubah senario dagangan dan unjuran bagi ringgit pada tahun depan.

“Jika ketegangan geopolitik memuncak, pasaran akan melihat lebih banyak permintaan terhadap aset selamat,” katanya sambil menambah selain emas, yen Jepun kini mencatatkan prestasi sebagai mata wang selamat semasa keadaan tidak menentu, seperti semasa pengunduran United Kingdom daripada Kesatuan Eropah dan selepas pilihan raya Presiden AS 2016. – MalaysiaGazette