Home Nasional Tawar Wang: Rela dan NGO gesa polis, SPRM siasat ‘Datuk Seri’

Tawar Wang: Rela dan NGO gesa polis, SPRM siasat ‘Datuk Seri’

Datuk Seri ketika ditahan untuk siasatan dakwaan memukul anggota Rela.

KUALA LUMPUR – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang didakwa menawarkan wang selepas memukul tiga anggota RELA, Jumaat lepas.

Laporan tersebut dibuat oleh wakil RELA Parlimen Selayang, Leftenan Kolonel Kehormat RELA, Datuk Mohd Sani Mohd Zain, Pengerusi Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay dan Pengerusi Dewan Ekonomi dan Sosial Malaysia (DESMMA), Mohd Fazil Abdullah di Balai Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Amir Amsaa berkata polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan.

“Tindakan menyogok anggota RELA adalah satu tindakan tidak menghormati kewibawaan dan kredibiliti jabatan itu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan polis berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang anggota RELA yang dipukul oleh lelaki berkenaan telah dihubungi oleh seorang individu lain yang didakwa menawarkan wang RM10,000 sekiranya sanggup menarik balik laporan polis terhadap suspek berusia 29 tahun itu.

Dalam kejadian itu, tiga anggota RELA iaitu Melvin Cheong Mun Khai,19; Leong Jiun Jie, 21, dan Lee Weng Poh, 27, mengalami kecederaan yang didakwa mereka akibat dipukul dan ditendang oleh suspek yang berang selepas diminta mengalihkan kenderaannya yang menganggu aliran lalu lintas.

Ketika kejadian, anggota RELA berkenaan sedang menjalankan tugas kawalan keselamatan bagi upcara keagamaan di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, di sini.

— BERNAMA