KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad memotong elaun sebanyak 15 peratus yang dibayar kepada presiden, naib presiden, pengurus besar kanan dan pengurus besar.
Syarikat perladangan itu juga menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi jawatan pengurus besar dan ke atas.
Langkah itu sebagai sebahagian daripada inisiatif pengurusan penjimatan kos syarikat dan mengoptimum tenaga kerja.
“Inisiatif ini bermula dari peringkat atas, ia adalah keputusan yang sukar dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan para pemegang saham dan pemegang kepentingan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Zakaria Arshad dalam kenyataan di sini.
FGV menjangkakan 15 peratus daripada 236 pengurusan kanan akan menerima tawaran VSS itu.
Zakaria turut menjelaskan setakat ini tidak ada perubahan dalam struktur pengurusan FGV.
S. Palaniappan masih kekal sebagai Ketua Pegawai Operasi bagi Sektor Perladangan yang bertanggungjawab menguruskan aktiviti hiliran dan huluan kelapa sawit serta penyelidikan dan pembangunan.
Datuk Khairil Anuar Aziz pula adalah Ketua Pegawai Operasi bagi Logistik dan lain-lain. Sebagai tambahan Khairil Anuar juga bertanggungjawab bagi Sektor Gula berkuatkuasa Januari 2018.
Katanya, inisiatif ini selaras dengan hasrat strategik FGV untuk menyampaikan prestasi mampan dalam menghadapi industri yang mencabar dan meningkatkan operasi dan kewangan prestasi perniagaan teras FGV. – MalaysiaGazette