KUALA LUMPUR – Berasaskan bulan ke bulan, indeks nilai seunit eksport pada bulan September meningkat 0.3 peratus kepada 112.1 mata.
Jabatan Perangkaan berkata, prestasi itu disumbangkan oleh minyak galian (+2.5%), barang-barang keluaran kilang (+0.7%) dan bahan kimia (+0.6%).
Sementara itu, indeks volum eksport mencatatkan kejatuhan sebanyak 5.1% kepada 131.2 mata yang disebabkan oleh bahan kimia (-12.4%), barang-barang keluaran kilang (-8.0%) dan minyak galian (-5.7%).
Bagi data pelarasan musim, indeks volum eksport merekodkan penurunan sebanyak 5.9 peratus.
Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport dan indeks volum eksport masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus dan 7.9 peratus.
Bagi import pula, indeks nilai seunit import mencatatkan peningkatan 0.2 peratus kepada 115.2 mata, bulan ke bulan, yang disumbangkan oleh minyak galian (+3.7%), bahan kimia (+0.5%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.4%).
Sementara itu, indeks volum import menurun 4 peratus kepada 137.4 mata.
Kejatuhan ini disumbangkan oleh makanan (-14.3%) diikuti oleh minyak galian (-6.8%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-3.2%).
Bagi data pelarasan musim, indeks volum import merekodkan kejatuhan sebanyak 3.6 peratus.
Berasaskan tahun ke tahun, indeks nilai seunit import dan indeks volum import masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus dan 9.2 peratus.
Terma perdagangan Malaysia merekodkan peningkatan 0.1 peratus kepada 97.3 mata berbanding Ogos 2017. Sementara itu, peningkatan sebanyak 1.1 peratus dicatatkan berasaskan tahun ke tahun. – MalaysiaGazette