KUALA LUMPUR – Jenazah Ramli Abd Majid yang meninggal dunia ketika mendaki Gunung Damavand, Iran tahun lalu dijangka tiba di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi esok.
Ketua Ekspedisi Mencari dan Menyelamat (SAR), Mohd Khafiz Bachok berkata, jenazah akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Imam Khomeini pada jam 10 malam ini, lapor Berita Harian Online.
“Jenazah dijangka tiba di Malaysia pada jam 10.20 pagi esok. Dari KLIA, jenazah akan terus dibawa ke Masjid Al Syakirin, Puchong untuk pengurusan jenazah.
“Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 14, Puchong, dijangka selepas waktu solat Zuhur.
“Pihak keluarga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kedutaan Malaysia di Tehran dan PROTON kerana membantu proses membawa pulang Allahyarham Ramli,” katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp, seperti dilaporkan.
Khafiz ketika ini bersama isteri arwah, Roslida Ablah; abang kandung Ramli, Abdul Razak, 59, dan dua wakil Jabatan Sumber Manusia PROTON berada di Tehran untuk urusan membawa pulang jenazah.
Pada 29 Oktober lalu, Wisma Putra mengesahkan mayat yang ditemui oleh pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand, Iran, adalah Ramli, pendaki Malaysia yang dilaporkan hilang sejak 20 November 2016.
Ramli, 44, hilang pada November tahun lalu bersama rakannya, Syed Redzuan Syed Salim Shatri ketika berada pada ketinggian 4,200 meter Gunung Damavand.
Bagaimanapun, mayat Syed Redzuan ditemui enam hari selepas dilaporkan hilang, manakala Ramli masih gagal dikesan sehinggalah ditemui setahun kemudian. – MalaysiaGazette