SINGAPURA – Orang ramai berbaris panjang di luar cawangan Apple Inc. di seluruh dunia untuk mendapatkan iPhone X yang mula dijual.
Sejak tengah malam tadi, orang ramai berpusu-pusu di cawangan runcit Apple di Singapura, Jepun dan Australia – mengingatkan semula hari pertama jualan iPhone pada 29 Jun 2007.
Hanya satu yang membezakannya. iPhone X bermula pada AS$999 (RM4,229) – dua kali ganda lebih tinggi berbanding AS$499 (RM2,112) ketika versi pertama diperkenalkan.
Video dan gambar-gambar di Twitter memperlihatkan pengawal keselamatan bersiap-sedia menunggu di luar kedai Apple di Orchard Road di Singapura.
Manakala di Sydney, para peminat juga setia menunggu beberapa jam sebelum telefon mula dijual. Sementara di cawangan Apple di Ginza, Tokyo orang ramai berbaris lebih daripada dua blok bangunan.
Mazen Kourouche adalah antara individu pertama mendapatkan iPhone X pada hari Jumaat di Apple Store di Sydney, yang dibuka pada jam 8 pagi waktu tempatan, sejam lebih awal dari biasa.
Pelajar kejuruteraan perisian berusia 20 tahun itu berkata, beliau akan menaik taraf iPhone setiap tahun.
Iori Watanabe dan abangnya tiba dua hari lebih awal di Tokyo untuk menjadi individu pertama daripada 500 orang pelanggan terawal.
Apple dikenali kerana secara agresif melakukan promosi pada setiap kali pelancaran iPhone baru.
Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tempahan atas talian telah mengurangkan jumlah orang yang beratur.
iPhone X ditawarkan dengan ciri-ciri baharu bagi mencetuskan permintaan.
Kebimbangan mengenai persediaan awal telefon bimbit yang terhad mungkin juga menarik pembeli ke kedai Apple pada hari pertama pelancaran.
Dalam satu pengumuman bulan lalu, Apple meminta orang ramai yang tidak membuat tempahan awal bagi memiliki iPhone X supaya ‘tiba lebih awal”.
Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook berkata, permintaan untuk iPhone X adalah adalaj sangat kukuh. – MalaysiaGazette