Home Ekonomi DFTZ : Mercu tanda baharu kejayaan Malaysia – Salleh

DFTZ : Mercu tanda baharu kejayaan Malaysia – Salleh

Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) adalah mercu tanda baharu kejayaan kerajaan untuk memanfaatkan pertumbuhan ekonomi internet dengan menjadikan e-dagang sebagai keutamaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengeluar Malaysia yang ingin mengeksport, pemilik jenama global yang ingin menubuhkan hab serantau, dan pembekal perkhidmatan tempatan dan global bakal mendapat manfaat besar.

“Kelmarin, saya dapat merasakan DFTZ adalah mercu tanda baharu kejayaan Malaysia.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Mohd Badlisham Ghazali menyatakan apabila beroperasi sepenuhnya, zon ini dijangka menerima pelaburan tambahan sebanyak RM700 juta.

Tidak hanya itu, pergerakan barangan juga akan berlaku dengan banyak dari 150,000 tan sekarang kepada lebih 3.5 juta tan barangan menjelang 2020. Selain itu, zon ini juga dijangka menarik pelaburan asing serta domestik sebanyak RM7 bilion, katanya menerusi catatan dalam blog beliau di http://sskeruak.blogspot.my hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengasas/ Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma semalam melancarkan DFTZ Malaysia dengan penyertaan 1,972 PKS sedia eksport.

DFTZ pertama di dunia itu merupakan komponen penting dalam memacu ekonomi digital Malaysia, memudahkan PKS memanfaatkan penumpuan pertumbuhan eksponen ekonomi internet dan perdagangan rentas sempadan.

Bagi pengguna, Salleh berkata zon perdagangan bebas itu akan meningkatkan pilihan belian dan penghantaran barangan dengan lebih cepat.

Beliau berkata DFTZ memberi banyak kebaikan antaranya menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pusat kargo udara dan logistik membabitkan syarikat antarabangsa dan tempatan seperti Alibaba Group, Lazada dan POS Malaysia.

Selain itu, katanya ia turut meningkatkan perkhidmatan digital dan perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan inovasi berasaskan internet dan e-dagang antarabangsa, membantu pengusaha kecil mengembangkan pasaran produk mereka ke luar negara dan mengurangkan sekatan dagangan bagi memudahkan penglibatan PKS dalam dagangan global.

Dari segi ekonomi, ia dapat meningkatkan sumbangan ekonomi internet kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia selain membantu syarikat kecil dan sederhana tempatan untuk memasarkan produk mereka ke peringkat global dengan mudah.

Zon perdagangan bebas itu juga dapat meningkatkan eksport PKS kepada AS$38 bilion dan menjana 60,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2025 dan menggandakan pertumbuhan jumlah kargo udara Malaysia daripada 700,000 tan setahun sekarang kepada 1.3 juta tan setahun dalam tempoh 10 tahun.

Dalam Bajet 2017 setahun lalu, ramai belum faham apabila PM menyebutkan tentang DFTZ. Namun apabila PM melancarkan DFTZ ini kelmarin yang turut dihadiri Jack Ma, pengasas Alibaba, ramai yang mula nampak arah tuju ekonomi internet yang PM maksudkan, katanya.

Mengulas pelancaran DFTZ, katanya, Jack Ma juga menyifatkan DFTZ sebagai bukti kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang amat cekap.

Sesungguhnya, menjelang 2020, Malaysia telah mengorak langkah menjadi sebuah negara yang maju dan berjaya, kata Salleh.- BERNAMA

Najib, Jack Ma lancar DFTZ KLIA Aeropilis Park