KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan seperti ‘sesumpah’ kerana bertukar-tukar pendirian demi agenda politik peribadi.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, Mahathir selama 22 tahun dalam tampuk pemerintahan sebelum ini hadir merasmikan Mesyuarat Agung MCA dan memberi sokongan penuh kepada parti terbesar masyarakat Cina selama itu.
Jelas Sin Woon, ketika itu Mahathir tidak pernah segan siluĀ untuk membidas DAP sebagai parti perkauman.
“Tapi kini, Mahathir dengan senang hati ‘memeluk’ musuh tradisinya selama berpuluh tahun, Lim Kit Siang dan menuduh MCA pula parti bersifatkan perkauman.
“Baru-baru ini, Mahathir mendabik dada dengan mengatakan dirinya bangga dengan semangat yang ditonjolkan oleh DAP dengan menyanyikan lagu parti mereka dalam bahasa Melayu sedangkan MCA dalam bahasa Cina.
“Saya hendak tanya, bukan selama 22 tahun lepas Mahathir datang Wisma MCA serta mendengar kami menyanyikan lagu kami dalam bahasa Cina? Ketika itu anda tidak pula menuduh kami perkauman sebaliknya gah bercakap tentang perjuangan dan jasa kami,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-53 di sini hari ini.
Tambah Sin Woon, dirinya berasa pelik bagaimana seorang negarawan tersohor seperti Mahathir dengan sekelip mata boleh menghancurkan kepercayaan masyarakat kerana mahu kuasa dalam politik.
“Anda (Mahathir) sering mengkritik DAP dalam semua aspek terutamanya daripada segi dasar dan polisi serta mengagungkan MCA kerana kita bukan sahaja tidak rasis malah menjaga kepentingan semua kaum lain.
“Anda bangga kami bersekutu dengan anda, kenapa kini lain lupa?
“Cukup-cukuplah Tun, rakyat sedang tengok dan mereka sudah celik. Jangan terus memperbodohkan mereka untuk kepentingan anda sendiri,” tegasnya.
Dalam pada itu, Sin Woon mendedahkan, rata-rata anak muda yang satu ketika dulu pernah menyokong Pakatan Harapan kini sedar setiap janji dan tohmahan adalah retorik dan palsu.
Katanya, golongan muda yang semakin terdedah dengan teknologi dan realiti masa kini semakin menyedari siapa sebenarnya yang membantu mereka ketika ini.
“Golongan muda sudah bosan dan tidak akan sesekali menyokong kepimpinan yang diterajui oleh pembangkang. Manakan tidak, nama sahaja pakatan tetapi dalam pelbagai isu tidak sepakat.
“Ini berlainan sekali dengan kita dalam komponen Barisan Nasional (BN). Sebagai contoh, ramai juga yang setuju dan tidak dalam isu RUU355 tetapi kami berdialog secara aman dan mencari jalan penyelesaian.
“Kami masih kekal sebagai rakan seperjuangan yang baik sehingga kini. Komponen tidak berpecah,” katanya.
Justeru, Sin Woon yakin dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat merangkumi semua aspek dan saling menghormati antara kaum di negara ini.- MalaysiaGazette