Home Ekonomi Bajet 2018 pacu pertumbuhan industri getah

Bajet 2018 pacu pertumbuhan industri getah

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengilang-Pengilang Produk Getah Malaysia (MRPMA) optimistik dengan pertumbuhan berterusan industri getah berikutan pengumuman Bajet 2018.

Presidennya E. L Ong berkata, pendekatan-pendekatan yang diambil pada Bajet 2018 menyediakan beberapa penyelesaian kepada industri tersebut.

MRPMA gembira dengan lanjutan tempoh elaun modal dipercepatkan sebanyak 200 peratus kepada sektor pengilang bagi perkakasan automasi dari cukai taksiran 2018 hingga 2020.

Katanya, persatuan itu percayai automasi adalah cara untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan pelaksanaannya mengambil masa.

Ong menambah, meskipun ahli-ahlinya termasuk pengeluar sarung tangan dan kondom telah berjaya dengan status pengeluar terbesar global, 60 peratus daripada industri pembuatan produk getah masih dalam kategori PKS.

Lantaran itu, PKS perlu digalakkan terlibat dalam automasi dan proses mekanisasi untuk meningkatkan kecekapan mereka.

“Perbelanjaan Modal Pelaburan adalah tinggi dan banyak daripada PKS kita tidak mempunyai dana untuk menaik taraf teknologi dan automasi.

“Peruntukan sebanyak RM200 juta bagi program latihan, pemberian pinjaman dan pinjaman mudah di bawah SME Corp dan pinjaman RM1 bilion kepada syarikat di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Pembayaran (SJPP) untuk tujuan automasi sangat diperlukan untuk mendorong industri getah ke hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini.

MRPMA turut memuji kerajaan kerana memberikan bantuan kepada PKS yang mahu beralih ke arah pembuatan pintar melalui Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Pemberian RM245 juta di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik akan membantu PKS menangani isu pengambilan teknologi yang miskin disebabkan oleh pelaburan modal yang tinggi, tambahnya.

“Industri perkilangan boleh mendapat faedah daripada Industri 4.0 jika kita dapat memanfaatkan potensi teknologi terkini. MRPMA percaya industri ini mesti bergerak pantas untuk bersaing di peringkat global pasaran.

“Insentif seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018 pasti akan meningkatkan eksport industri produk pembuatan getah dan kelestariannya.,” ujar Ong sambil menambah MRPMA akan terlibat dalam misi pembelajaran kilang automasi ke Jepun dan Korea Selatan pada minggu depan yang dianjurkan oleh Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia.

Lawatan itu bertujuan meneroka kemungkinan kerjasama dalam kalangan pengilang Jepun dan Korea dalam bidang jentera, robotik dan automasi. – MalaysiaGazette