Home Politik MCA optimis capai 15 kerusi

MCA optimis capai 15 kerusi

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA kali ke-64 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 NOVEMBER 2017
KUALA LUMPUR – MCA optimis untuk menambah jumlah kemenangan sehingga 15 kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berdasarkan gerak kerja parti komponen Barisan Nasional itu sejak tiga tahun lalu, beliau yakin sokongan rakyat semakin bertambah, sekali gus menyumbang tambahan kerusi sedia ada.
“Kita harap dapat gandakan jumlah kerusi sedia ada. Kita lihat MCA mempunyai kemampuan lebih, banyak usaha kita lakukan melalui kerja-kerja perkhidmatan dan pembangunan dalam kawasan MCA.
“Kita juga jelas dan tahu bahawa keperluan komuniti emosi masyarakat Cina perlu ditangani bersama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-64 di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama barisan tertinggi MCA dan para perwakilan melaungkan hidup BN pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA kali ke-64 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 NOVEMBER 2017
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmian majlis sama mencadangkan agar MCA dapat menambah kemenangan kerusinya dari tujuh kepada 15 kerusi Parlimen pada PRU14.
Najib berkata, MCA perlu menambah jumlah kerusinya selaras dengan pelbagai bantuan dan peruntukan yang menjadi keperluan mendesak komuniti Cina khususnya sekolah kebangsaan jenis Cina.
Tiong Lai berkata, dengan suntikan semangat yang diberi Perdana Menteri hari ini, beliau yakin jentera dan ahli di peringkat akar umbi mampu merealisasikan sasaran tersebut.
“Inilah kekuatan BN kerana mempunyai keterangkuman, kerana mempunyai konsensus, kerana Najib adalah Perdana Menteri yang inklusif yang dapat selesaikan isu-isu keperluan emosi komuniti yang berlainan.
“Saya ucap terima kasih kerana Perdana Menteri yakin kita boleh gandakan angka ini (kerusi MCA)
“MCA ada kemampuan dan komitmen yang tinggi, Perdana Menteri telah berikan satu suntikan semangat yang tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette.