KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah negara Islam tidak akan terbentuk melalui kegiatan militan yang melakukan pelbagai kekejaman, mengebom, membunuh, menculik, dan mencederakan insan-insan yang tidak berdosa.
Titah baginda, negara Islam juga tidak terbentuk dengan melabelkan perkataan Islam kepada nama negara atau menyelitkan elemen-elemen Islam di dalam sistem perundangan dan Perlembagaan Negara.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena ulang tahun keputeraan ke-61 Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Raja Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Sultan Nazrin bertitah, negara Islam akan dapat diwujudkan apabila negara diurus tadbir oleh pemerintahan yang berupaya melakukan amal makruf dan bersungguh-sungguh menegah kemungkaran.
“Negara Islam juga akan terjelma apabila pemerintah dan pemimpin menghayati sifat-sifat terpuji Rasulullah SAW yang berakarkan semangat berkhidmat, berkorban, sama sekali tidak mahu diberi sebarang keistimewaan dan tidak meletakkan diri lebih mulia daripada orang lain,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah keruntuhan sesebuah negara berpunca daripada kelalaian pemerintah menunaikan keperluan rakyat serta kegagalan menyeru ke arah yang makruf dan kelemahan mencegah kemungkaran.
Titah baginda, Islam menegaskan pemerintahan wajib bersandarkan undang-undang dan pemimpin tidak memiliki sebarang keistimewaan mahupun kekebalan untuk berada di atas undang-undang.
“Pemimpin yang menghayati roh Islam akan mengasaskan pemerintahan berteraskan kebenaran, bertiangkan keadilan,” titah Sultan Nazrin.
Baginda juga bertitah pemerintah dan pemimpin wajib memiliki akhlak, sifat terpuji, serta bijaksana dalam urusan pemerintahan dan kepimpinan.
“Kesejahteraan rakyat amat bergantung kepada citra dan perilaku seseorang pemerintah atau pemimpin. Cara seseorang pemerintah atau pemimpin menggunakan kuasa yang diamanahkan akan mempengaruhi tingkah laku rakyat,” titah baginda.
Sultan Perak turut bertitah agar generasi hari ini memahami sejarah penubuhan negara supaya kemerdekaan selama 60 tahun yang dinikmati sekarang terus berpandukan kepada kompas yang betul. – MalaysiaGazette