Home Nasional Pelajar cemerlang dari keluarga B40, M40 diutamakan ke MRSM

Pelajar cemerlang dari keluarga B40, M40 diutamakan ke MRSM

KUALA LUMPUR – Pelajar cemerlang dari kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) terutama di luar bandar diberi keutamaan untuk ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Walaupun kaedah permohonan pelajar ke MRSM menggunakan sistem dalam talian, pihak Mara sentiasa membantu proses permohonan dan pengambilan pelajar dari luar bandar dan pedalaman.

Ketua Pengarah Mara Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, daripada keseluruhan 37,752 pelajar MRSM sedia ada, seramai 23,628 orang atau 63 peratus adalah pelajar luar bandar manakala pelajar dari bandar berjumlah 14,124 orang atau 37 peratus.

“Jumlah pelajar MRSM daripada kalangan B40 adalah 20,011 orang manakala pelajar daripada golongan M40 pula adalah 12,725 orang, menjadikan jumlah peratusan pelajar dari kedua-dua kumpulan ini adalah seramai 86 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Justeru itu, dakwaan yang mengatakan bahawa MRSM tidak mengutamakan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar serta lari dari matlamat penubuhan asal
adalah tidak tepat. – MalaysiaGazette