Home Sukan Saya masih menyengat di hadapan gol – Aidil Zafuan

Saya masih menyengat di hadapan gol – Aidil Zafuan

Pemain pasukan JDT meraikan kejayaan selepas berjaya menewaskan pasukan Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 antara Johor DT menentang Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2017.

SHAH ALAM – Penyerang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamad Aidil Zafuan A. Razak memberi isyarat jelas kepada pasukan dan penyokongnya bahawa dia masih mempunyai sentuhan ajaib di hadapan gol.

Kata pemain itu, dia masih boleh memberi komitmen yang diharapkan Harimau Selatan jika diberi kepercayaan pada masa akan datang.

Aidil menyifatkan gol yang dihasilkan menerusi tandukan kencang pada minit kedua ketika menentang Kedah pada final Piala Malaysia malam tadi adalah rezeki diri dan pasukan dan gol itu telah menaikkan semangat pasukan untuk beraksi cemerlang dalam perlawanan malam tadi.

“Gol saya pada aksi final adalah satu satu pembakar semangat untuk rakan rakan pasukan dan juga rezeki untuk saya mendapatkan gol penting itu.

“Malah bukan saya seorang sahaja, rakan sepasukan pun membantu saya menyempurnakan gol tersebut dengan baik.

“Ia bukti saya masih boleh beraksi dngan baik jika diberi peluang dan kepercayaan sehabis mungkin,” katanya ketika diserbu pemberita di Stadium Shah Alam selepas perlawanan malam tadi.

Mengenai gol itu, Mohamad Aidil berkata kebiasaannya seseorang pemain itu disanjung tinggi sekirnya dia dapat menjaringkan gol pada aksi final sesebuah kejuaraan.

“Bagi saya gol yang dijaringkan pada awal perlawanan itu bukan milik saya seorang, tetapi rakan-rakan lain juga membantu di atas padang,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan jurulatih mengeluarkannya pada babak kedua, Aidil berkata berlaku salah komunikasi pada masa tersebut.

“Berlaku sedikit salah komunikasi semasa saya dikeluarkan dan digantikan pemain lain sedangkan saya masih boleh beraksi (90 minit).

“Sebab kerana jurulatih membuat keputusan itu, saya tidak melihat sebarang masalah di situ dan akur sahaja.

“Saya mengharapkan semangat menjulang Piala Malaysia julung kali oleh pasukan kami diteruskan untuk musim akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette