Home Nasional Sistem perparitan punca Pulau Pinang banjir

Sistem perparitan punca Pulau Pinang banjir

Tanah runtuh di sebuah kawasan bukit di Balik Pulau selepas Pulau Pinang dilanda hujan semalam.

GEORGETOWN – Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang hari ini mengakui kelemahan sistem perparitan negeri antara punca kejadian banjir yang melanda lebih 100 kawasan di kelima-lima daerah di negeri ini sejak semalam.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, sistem perparitan sedia ada di negeri ini sememangnya tidak mampu menampung aliran air yang begitu banyak ketika hujan lebat.

Menurutnya, jumlah taburan hujan luar biasa sejak 2 petang semalam yang bertembung dengan kemuncak fenomena air pasang juga antara punca berlaku banjir kilat.

“Sistem perparitan semula jadi dan buatan sedia ada tidak mampu menampung aliran air hujan, tambah lagi taburan hujan yang begitu di tinggi di kelima-lima daerah telah menyebabkan banyak kawasan ditenggelami air,” katanya kepada pemberita di sini.

Kadar taburan hujan yang direkodkan menunjukkan Seberang Perai Utara mencatatkan paras tertinggi iaitu 372 milimeter diikuti Seberang Perai Tengah (327 mm), Timur Laut (289 mm), Barat Daya (237 mm) dan Seberang Perai Selatan (165 mm).

Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir selepas hujan lebat yang turun sejak 2 petang semalam di mana 75 kejadian pokok tumbang dan lapan kejadian tanah runtuh telah dilaporkan.

Setakat 2 petang tadi, sebanyak 51 pusat pemindahan telah dibuka di Pulau Pinang bagi menempatkan 2,861 mangsa banjir di lima daerah.

Cuaca di negeri ini masih mendung dengan sesekali hujan renyai. – MalaysiaGazette