KUALA LUMPUR – Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) terpaksa ditutup sementara bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan berikutan ribut yang berlaku malam tadi.
Bencana alam itu telah menyebabkan banyak pokok tumbang disepanjang laluan rentis dan tapak khemah Taman Negara Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pelawat dinasihatkan untuk tidak membuat lawatan ke TNPP dan tidak memasuki kawasan rentis dan laluan laut serta tidak menjalankan aktiviti berkhemah dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini demi menjaga keselamatan diri.
Semua pelawat ke TNPP diminta untuk mematuhi segala arahan semasa yang dikeluarkan oleh Penguasa dan mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan. – MalaysiaGazette