Home Politik Teresa Kok, pembangkang jadi pandai kerana jasa MCA, BN – PM

Teresa Kok, pembangkang jadi pandai kerana jasa MCA, BN – PM

Datuk Seri Najib Tun Razak. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 NOVEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan ramai pemimpin pembangkang lain mempunyai kelulusan tinggi hari ini kerana jasa MCA dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menyediakan bantuan pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan peruntukan lebih RM200 juta kepada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI) setakat ini telah berjaya melahirkan 210,000 pelajar Cina berkelulusan tinggi.
“Kerana jasa Kerajaan BN, 210,000 pelajar sudah jadi orang yang ada kelulusan termasuk Teresa Kok, Ahli Parlimen Rasah, termasuk Chow Kon Yeow di Pulau Pinang.
“Ramai lagi orang-orang pembangkang yang menjadi pandai dan ada kelulusan kerana jasa MCA dan BN,” katanya berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-64 di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama barisan tertinggi MCA dan para perwakilan melaungkan hidup BN pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA kali ke-64 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 NOVEMBER 2017
Najib juga kesal dengan sikap pembangkang berterusan menyerang dan menabur tohmahan kepada Kerajaan BN sedangkan mereka sendiri mendapat bantuan pendidikan dan berjaya pada hari ini.
“Mereka serang kita seolah-olah kita ini tak buat apa, sebenarnya negara kita ini maju kerana adanya pemaufakatan antara kaum.
“Salah satu komponen paling kuat ialah MCA rakan setia kepada BN. MIC dan parti-parti komponen lain semua setia, dalam susah dan senang mereka setia,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa DAP tidak berupaya membentuk kerajaan meskipun mereka menang besar dan memperolehi banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya.
“DAP tidak boleh tubuh kerajaan, realiti pilihan raya lalu dia menang besar pun, dia tak boleh tubuh kerajaan, dia tak boleh buat lebih baik daripada pilihan raya lalu.
“Walaupun mereka melakukan yang lebih baik daripada pilhan raya lepas pun DAP masih tak boleh tubuhkan kerajaan.
“Kita tanya kaum Cina, apa mereka mahu? Adakah mereka mahu wakil Cina yang kuat dalam kerajaan akan datang atau wakil lemah? Pilihan di tangan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette