KUALA LUMPUR – Walaupun air sudah naik tinggi dalam rumah namun masih terdapat segelintir mangsa banjir di Pulau Pinang yang enggan meninggalkan rumah mereka dan mengikut arahan pihak bomba, kata Tan Sri Noh Omar.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu melahirkan rasa dukacita kepada mangsa yang terkorban dan menasihati orang awam supaya mematuhi arahan pihak bomba bagi mengelak insiden tidak diingini menimpa kerana banjir yang berlaku dengan cepat.
“Tapi satu perkara yang mendukacitakan kita apabila ada orang awam semasa bomba menasihatkan supaya mereka berpindah segera ada antara mereka yang enggan mengikut arahan.
“Saya dimaklumkan semalam oleh pengarah bomba negeri dalam taklimat salah seorang mangsa yang meninggal sebenarnya sudah diminta meninggalkan rumah tapi mangsa masih mahu tinggal dalam rumah,” kata Noh pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Setakat ini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di Pulau Pinang telah meragut tujuh nyawa.
Dalam pada itu, Noh juga meminta agar perbezaan fahaman politik ketepikan demi kebajikan rakyat yang berdepan bencana.
“Dalam kita nak bantu mangsa banjir ini, kita kena ketepikan fahaman politik demi untuk kebajikan rakyat,” ujarnya.
Jelas beliau, bencana banjir yang berlaku di Pulau Pinang adalah di luar jangkaan dan ia umpama ribut taufan tsunami.
“Di Pulau Pinang, apa yang berlaku saya nak nyatakan di sini bukan sahaja banjir tapi ribut taufan macam tsunami yang di luar dugaan.
“Apabila berlaku di sana pihak bomba menerima 583 panggilan kecemasan dan beberapa telah kita selamatkan di Pulau Pinang,” katanya.
Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 meter dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok. – MalaysiaGazette