SUNGAI PETANI – Bangun untuk menunaikan solat sekitar 2 pagi telah menyelamatkan Jamil Tikan berserta anggota keluarganya daripada rentung dalam kebakaran melibatkan empat rumah di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya dekat sini, awal pagi tadi.
Jamil, 60, berkata ketika dia bangun untuk bersolat tidak lama selepas itu terdengar jeritan jiran mengatakan ada kebakaran hingga menyebabkannya segera mengejutkan anggota keluarganya untuk keluar dari rumah itu menyelamatkan diri.
“Saya dan lima anggota keluarga lain termasuklah ibu mertua saya berada dalam rumah sewaktu kebakaran berlaku dan sebaik sahaja kami (berjaya) keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri, saya cuba membantu jiran selepas mendengar jeritannya dari dalam rumah yang terletak bersebelahan rumah saya.
“Saya menarik papan dinding yang sedang terbakar di rumah sebelah dan tiba-tiba seorang lelaki, dikenali Samsul (45 tahun) keluar dari dinding itu dan jatuh ke tanah, badannya sedang terbakar.
“Namun saya tidak dapat membantunya…terlalu panas, saya hanya melihat dia berguling-guling di atas tanah sehingga api padam, pada masa sama masih terdengar jeritan dari dalam rumah itu, tetapi saya tidak dapat menolong,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari ini.
Jamil berkata Samsul yang melecur 70 peratus anggota badannya, kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini serta anaknya berusia 20-an yang merupakan anak kurang upaya (OKU) selamat, bagaimanapun isterinya, Tobiyah maut dalam kejadian kebakaran itu.
Katanya, difahamkan tiga beranak itu ingin pulang ke kampung halaman mereka di Indonesia 11 pagi ini.
Menurutnya kesemua penduduk di situ kebanyakannya berasal dari Kampung Bangkalan, Madura di Indonesia malah dia sendiri merupakan pekerja kontrak di Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu.
Sementara itu, ibu mentua Jamil, Tofriyah Rahmat, 53, pula berkata tiada barangan yang sempat diselamatkannya melainkan sebuah beg kecil berisi dokumen pengenalan diri dan telefon bimbit yang kebetulan diletakkan di hujung kepala selepas dia pulang dari kerja.
“Duit simpanan tunai kira-kira RM1,000 hangus, pakaian juga tinggal sehelai sepinggang, dokumen pengenalan diri yang lain termasuklah pakaian dan kelengkapan sekolah milik cucu perempuan saya yang berusia 7 tahun, turut hangus.
“Saya bersyukur, kalau menantu saya (Jamil) tidak bangun untuk solat dan tidak kejutkan kami semua, saya tidak tahu apa yang akan terjadi,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah pasar raya berhampiran di sini.
Sementara itu, Widayulita Arin, 22, iaitu isteri kepada seorang daripada mangsa kebakaran tersebut yang dikenali sebagai Habi, berkata semasa kejadian, dia tidak berada di rumah kerana bekerja syif malam, di sebuah kilang di Bakar Arang di sini.
“Habis waktu bekerja dalam 7 pagi macam itu, baru saya tengok telefon bimbit. Saya tengok banyak mesej dan panggilan masuk. Sebab telefon kena simpan dalam lokar, balik kerja baru saya ambil,” katanya.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira 4 pagi itu, lima orang terkorban terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita manakala seorang lelaki melecur 70 peratus.
— BERNAMA