KUALA LUMPUR – MIC tidak akan sesekali memperjudikan nilai kemanusian dan kebajikan masyarakat hanya kerana perbezaan pandangan politik terutamanya ketika bencana melanda sesebuah negeri.
Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, walaupun Pulau Pinang ditadbir DAP yang menyerang dan mengkritiik Barisan Nasional secara berterusan namun menjadi tanggungjawab semua pihak untuk tampil membantu apabila negeri itu dilanda bencana.
Menurutnya, MIC tidak akan sesekali berkompromi dengan kebajikan rakyat dan akan membantu sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang dan idealogi politik individu atau parti politik.
“Pemuda MIC prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa bencana banjir yang tidak dijangka begitu buruk di Pulau Pinang dan kami telah kembali mengaktifkan Pusat Bantuan Bencana MIC (MyDAC).
“Pada hari ini, kita akan menghantar 100 sukarelawan yang juga terdiri daripada kalangan Pemuda MIC sendiri, agensi dan pertubuhan. Rata-rata sukarelawan kita merupakan golongan profesional dan terlatih dalam menangani isu-isu berkaitan bencana serta kecemasan.
“Kita tidak peduli apakah Pulau Pinang ini ditadbir oleh pembangkang, pada kita ini adalah soal rakyat negara ini. Tiada siapa pun mahu bala bencana menimpa kita, bukan DAP yang minta banjir besar ini berlaku. Ini terjadi kerana perubahan iklim. Usah main politik atau tuding jari mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelepasan konvoi kumpulan sukarelawan ke Pulau Pinang dan Kedah.
Dalam pada itu menurut Sivarraajh, selain sukarelawan, Persatuan Bulan Sabit Merah dan doktor juga dikerah ke kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.
“MyDAC sudah aktif sejak banjir besar yang melanda Pantai Timur pada tahun 2014. Saya juga telah memastikan semua sukarelawan ini menerima latihan yang secukupnya bagi melicinkan proses misi bantuan kemanusian sejak itu.
“Kali ini, kita juga telah mengenalpasti sebanyak 300 buah keluarga ketika ini yang memerlukan bantuan terutamnya barangan am serta makanan kerana rumah mereka terjejas teruk. Kami akan menyerahkan bantuan makanan dan barangan lain kepada mereka hari ini.
“Selain itu, kita juga memohon kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin untuk terus menyumbang bahan makanan dan barangan am yang lain. Kita telah membuka tempat pengumpulan barangan makanan di Ibu Pejabat MIC sendiri.
“Marilah kita bersama-sama bangkit membantu agar beban ini tidak ditanggung secara berseorangan,” ujarnya.
Mereka yang berminat menyumbang barangan makanan atau ingin menjadi sukarelawan boleh menghubungi pejabat Pemuda MIC di talian 03-40431111 atau 0166152637, 0146419650. – MalaysiaGazette