Home Nasional Selangor catat kes buang bayi tertinggi 2016, 2017

Selangor catat kes buang bayi tertinggi 2016, 2017

Rohani Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kes buang bayi di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi untuk dua tahun berturut-turut, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Berdasarkan rekod polis untuk kes itu pada 2016 hingga Jun 2017 masing-masing mencatatkan sebanyak 115 dan 59 kes.

“Pada 2016, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 23 kes diikuti oleh Johor sebanyak 19 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 16 kes.

“Sementara itu, sehingga bulan Jun 2017, Selangor masih lagi mencatat kes tertinggi iaitu 16 kes diikuti Sabah dan Kuala Lumpur iaitu masing-masing sebanyak 7 kes,” kata beliau dalam sesi Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, tiada kes dilaporkan di Kelantan, Terengganu, Sarawak setakat Jun 2017.

Bagi menangani kes buang bayi ini, Rohani menjelaskan pihak kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sudah melaksanakan pelbagai pelan jangka pendek dan panjang bagi meningkatkan daya tindak dan daya tahan institusi keluarga khususnya remaja dan ibu bapa dalam memupuk kesedaran terhadap kesihatan reproduktif bagi menangani masalah sosial remaja.

“Melalui Dasar dan Pelan Tindakan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI), pelbagai inisiatif dan program dilaksanakan oleh agensi dibawah kementerian; Pusat REMAJA kafe@TEEN, PEKERTI@Sekolah. PEKERTI@Institut, PEKERTI@Komuniti,” katanya.

Menurut Rohani, semua program tersebut berjaya mendekati remaja dan memberi kesedaran kepada mereka di samping turut memberi kaunseling. – MalaysiaGazette