KUALA LUMPUR – Sebanyak 113 sekolah di seluruh negara berada pada tahap baik dan cemerlang menerusi pemeriksaan penarafan pembelajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 40.07 peratus sekolah manakala 169 sekolah atau 59.93 peratus berada di bawah tahap baik dan cemerlang serta sekolah itu sedang dibimbing oleh Pegawai Rakan Peningkatan Sekolah (SIP+) dan Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+).
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan dan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 tidak boleh dibandingkan dengan keputusan UPSR tahun-tahun terdahulu kerana format dan instrumen bagi UPSR tahun lepas adalah berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).